Satu daripada tiga rakyat Malaysia kongsi kata laluan perbankan

Adnan Zaylani ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sempena Bulan Literasi Kewangan di AEON Mall Kulai Jaya.
Adnan Zaylani ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sempena Bulan Literasi Kewangan di AEON Mall Kulai Jaya.
A
A
A

KULAI - Tahap celik kewangan digital rakyat Malaysia amat membimbangkan apabila satu daripada tiga individu didapati berkongsi kata laluan perbankan mereka.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, lebih 70 peratus rakyat di negara ini pula tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital.

Menurutnya, tindakan berkongsi kata laluan perbankan akan mendedahkan mereka dengan penipuan kewangan.

"Sejak tahun lalu, inisiatif untuk meningkatkan celik kewangan digital telah dilancarkan oleh FEN dan industri kewangan termasuk program jelajah FEN ke luar bandar dan institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan siber pengguna kewangan.

"Justeru, program literasi kewangan FEN (Jaringan Pendidikan Kewangan) Proaktif yang dilancarkan semalam (Sabtu) untuk belia di IPT (institusi pengajian tinggi) turut mengintegrasikan satu modul celik kewangan digital.

"Oleh itu, dengan persekitaran kewangan dan ekonomi yang sangat dinamik, perjalanan memperkasakan pendidikan kewangan tidak ada titik noktahnya," katanya.

Adnan Zaylani berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sempena Bulan Literasi Kewangan di AEON Mall Kulai Jaya yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Ahad.

Sementara itu, Adnan Zaylani berkata, pandemik Covid-19 telah membuka peluang baharu terutamanya kepada perniagaan yang beralih ke dalam talian atau memberi tumpuan kepada agenda ekonomi Hijau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak Bank Dunia turut menganggarkan sebanyak 79 peratus rakyat di negara inui menggunakan perkhidmatan kewangan digital pada 2021 dengan 45 peratus menggunakannya buat pertama kali.

"Perkembangan ini sememangnya membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat Malaysia terutama bagi golongan peniaga dalam meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meneroka model perniagaan baharu yang lebih berdaya saing," katanya.