Pemandu enggan hadir timbang lori dakwa diugut pemilik syarikat

JPJ Selangor melaksanakan Operasi Kenderaan Komersial pada Khamis dan Jumaat lalu.
JPJ Selangor melaksanakan Operasi Kenderaan Komersial pada Khamis dan Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemandu lori yang membawa lebih muatan mendakwa diugut oleh pemilik syarikat supaya tidak hadir membuat timbangan berat kenderaan apabila diarahkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, ia adalah untuk mengelakkan daripada dikenakan denda yang tinggi oleh mahkamah, setelah kenderaan mereka ditahan kerana disyaki membawa muatan berlebihan.

"Pemandu lori berkenaan enggan hadir timbangan berat kenderaan kerana diugut dibuang kerja dan dipotong gaji oleh majikan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Kamarunzaman berkata, sebanyak 843 notis dikeluarkan dalam Operasi Kenderaan Komersial pada Khamis dan Jumaat lalu.

"Notis telah dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebuah lori telah disita atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh.

"Kita mendapati kesalahan paling tinggi adalah lesen memandu tamat tempoh iaitu sebanyak 143.

"Selain itu, sebanyak 94 kesalahan LKM tamat tempoh dan tiada insurans pula sebanyak 48 kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan: