Sanggup harungi perjalanan hampir 300 kilometer demi Palestin

Lebih 10,000 peserta hadir pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin. Gambar kecil dari kiri: Iffah, Muhammad Nor
Lebih 10,000 peserta hadir pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin. Gambar kecil dari kiri: Iffah, Muhammad Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi menyatakan sokongan terhadap nasib rakyat Palestin, 13 rakan sekampung dari Kuala Terengganu sanggup mengharungi perjalanan sejauh 288 kilometer untuk menyertai Himpunan 10,000 Solidariti Palestin yang berlangsung di ibu negara.

Pekerja swasta, Muhammad Nor Sulaiman, 54, berkata, biarpun perjalanan tidak ditaja oleh mana-mana pihak, mereka menggunakan wang sendiri bagi menampung segala kos.

“Kami bertolak dari Kuala Terengganu pada 11 malam Jumaat menaiki sebuah van dan tiba di Kuala Lumpur selepas enam jam perjalanan.

“Alhamdulillah ada rakan di sini menumpangkan kami untuk bermalam sebelum ke lokasi himpunan. Kami tiada masalah untuk menyertai mana-mana himpunan walaupun jauh dari Kuala Terengganu kerana mahu tunjukkan semangat dan solidariti kepada Palestin,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Himpunan yang dianjurkan Pas bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dihadiri pemimpin politik antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.

Sementara itu, bagi pekerja swasta, Iffah Tadj, 22, walaupun hadir seorang diri dari Temerloh tetapi atas dasar sesama Islam dan kemanusiaan dia begitu semangat untuk menyatakan protes terhadap kekejaman rejim Zionis

Jelasnya, sebelum ini dia tidak pernah menyertai perhimpunan aman kerana faktor umur dan tidak mendapat keizinan daripada ibu bapa.

“Apabila saya sudah sampai di sini, perasaan bercampur baur bila laungkan ‘Hancur Israel’ itu. Jadi, saya dapat melepaskan geram walaupun hanya di sini,” ujarnya.