UNGA sukar buat keputusan gencatan senjata perang Israel-Palestin

Mahathir
Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sukar membuat keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata bagi menyelesaikan isu perang antara Israel dan Palestin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal dalam menangani isu politik dan kemanusiaan di Gaza.

Menurutnya, peperangan tersebut sudah mengorbankan lebih 8,000 nyawa yang tidak berdosa.

"Mereka (PBB) tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana dipengaruhi oleh beberapa kuasa veto dunia.

"Jika satu negara veto tidak bersetuju gencatan senjata dibuat dalam mesyuarat UNGA, maka tiada penyelesaian dapat dibuat.

"Mereka (Israel) lupa sewaktu ditekan oleh Nazi, mereka datang untuk meminta pertolongan, namun kini bersikap lebih teruk berbanding 'German Nazi' sehingga sanggup untuk melakukan serangan lebih agresif ke atas tentera Hamas dan rakyat Gaza," katanya dalam sidang media Himpunan Seribu Wanita Melayu bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, UNGA menerima resolusi yang ditaja Jordan itu bermatlamat menyeru gencatan senjata segera selain bantuan kemanusiaan serta perkhidmatan penting sampai ke Genting Gaza tanpa sebarang halangan.

Menurut laman sesawang Berita PBB, pengundian semasa Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan resolusi tersebut menerima 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 tidak mengundi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, rakyat Palestin berhak mendapatkan semula tanah mereka.

"Rakyat Palestin sehingga kini berjuang mendapatkan tanah air dan hak mereka semula selepas dirampas oleh Israel," katanya.