Pemantauan sungai lebih efektif guna cerapan satelit

LUAS akan bekerjasama dengan Malaysian Space Agency pantau sungai di Selangor. Gambar kecil: Jamaliah
LUAS akan bekerjasama dengan Malaysian Space Agency pantau sungai di Selangor. Gambar kecil: Jamaliah
A
A
A

SHAH ALAM - Dron berteknologi tinggi yang digunakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi pemantauan sungai di Selangor dilihat kurang efektif dalam mengatasi isu pencemaran sungai.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, penggunaan dron telah dilakukan pada 2022 bagi membantu mengenal pasti lokasi penting bagi pemantauan risiko pencemaran.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat limitasi kepada kaedah tersebut susulan ia melibatkan perbelanjaan yang terlalu besar sekiranya dron diperlukan beroperasi sepanjang masa.

"Lanjutan itu, LUAS telah mengenal pasti pendekatan alternatif yang lebih efektif iaitu akan bekerjasama dengan pihak Malaysian Space Agency (MYSA) bagi menggunakan cerapan satelit.

"Kaedah itu dapat membantu memantau keseluruhan jajaran sungai di Selangor dengan kekerapan yang lebih efektif," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas keberkesanan dron dalam memantau sungai yang terdedah kepada pencemaran yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air kepada rakyat Selangor.

Katanya, inisiatif sedang sedang giat diselaraskan membabitkan proses pembangunan perancangan kerja terlibat.

Tambahnya, memorandum persefahaman (MoU) bersama MYSA akan disempurnakan pada awal tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan negeri menggunakan teknologi dron bagi memantau sumber air selain memanfaatkan teknologi itu untuk mengambil sampel dan memberi amaran awal jika terdapat aktiviti mencurigakan.

Langkah itu sebagai inisiatif kerajaan negeri mencegah pencemaran sumber air termasuk penubuhan Skuad Pantas LUAS yang melakukan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

Kaedah tersebut telah berjaya mengelakkan beberapa insiden pencemaran yang berpotensi menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA).