Berhenti tipu soal peruntukan ahli Parlimen pembangkang

Muhammad Azha
Muhammad Azha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan isu peruntukan sama rata kepada pembangkang semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan jelas merupakan satu penipuan yang besar.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin berkata, beliau meminta ahli Parlimen Kubang Kerian itu untuk berhenti menipu rakyat dan menjadikan isu tersebut sebagai modal politik murahan bagi menimbulkan kebencian terhadap Kerajaan Perpaduan

Menurutnya, kerajaan terdahulu hanya memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang secara bersyarat.

"Suka untuk saya ingatkan beliau, semasa PN menjadi kerajaan, ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat peruntukan setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama pihak kerajaan pada 13 September 2021.

"PH dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk menandatangani MoU tersebut demi menjamin kestabilan politik dan memastikan peruntukan dapat disalurkan demi kepentingan rakyat," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dikeluarkan Tuan Ibrahim dalam sebuah laporan portal berita berhubung isu peruntukan kepada wakil pembangkang.

Menerusi laporan tersebut, Tuan Ibrahim berkata, Pas menyerahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sama ada akan membuat rundingan sekali lagi berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, peruntukan itu sepatutnya diberikan secara terus tanpa menjadikan rundingan sebagai syarat memandangkan pentadbiran sebelum ini juga tidak membuat ketetapan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Azha menasihatkan Ketua Pembangkang supaya mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan seperti yang telah ditawarkan oleh Perdana Menteri sebagai penyelesaian kepada isu tersebut.