Pengalaman Shukor taruhan The City Boys

Shukor akan menjalani ujian kecergasan terlebih dulu sebelum secara rasmi ditawarkan kontrak untuk menyarung jersi The City Boys. - Foto: Shukor Adan Official
Shukor akan menjalani ujian kecergasan terlebih dulu sebelum secara rasmi ditawarkan kontrak untuk menyarung jersi The City Boys. - Foto: Shukor Adan Official
A
A
A
BEKAS kapten Harimau Malaya, Shukor Adan hampir pasti menjadi milik skuad warga kota - Kuala Lumpur bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bakal bermula 28 Februari depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, Shukor akan menjalani ujian kecergasan terlebih dulu sebelum secara rasmi ditawarkan kontrak untuk menyarung jersi The City Boys.

"Buat masa ini, kita masih belum pastikan penyertaan pemain, kita masih mencari pemain yang sesuai untuk pasukan. KLFA baru sahaja mendapat presiden dan barisan exco baharu, jadi pembentukan pasukan agak lewat sedikit.

"Bagaimanapun, kita tetap membuat persiapan dengan mengadakan latihan dan sesi pemilihan pemain. Apa yang boleh saya katakan, paling awal keputusan dapat dibuat awal Januari depan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nokman berkata, kehadiran Shukor yang sebelum ini menyarung jersi Melaka United dan beberapa muka baharu diharapkan dapat membawa Kuala Lumpur kembali beraksi dalam saingan Liga Super.

"Seperti yang kita semua tahu, Shukor merupakan seorang pemain yang cukup berpengalaman. Jadi dengan pengalaman yang ada padanya, kita harap dia dapat membantu rakan-rakan sepasukannya yang lebih muda.

"Selain itu, kita juga masih menaruh kepercayaan kepada Indra (Putra Mahayuddin). Pengalaman luas Indra dan juga Shukor amat penting bagi memacu kejayaan pasukan.

"Kita memang meletakkan sasaran untuk kembali bersaing dalam Liga Super. Presiden (Khalid Abd Samad) juga meletakkan sasaran yang sama. Dengan adanya mereka ini, saya harap kita dapat merealisasikan impian itu," ujarnya.

Pada masa sama, Nokman memberitahu, barisan kejurulatihan Kuala Lumpur yang kini diterajui pengendali baharu, Nidzam Adzha Yusoff sedang mencari pengganti penggempur berbisa, Guilherme de Paula yang berhijrah ke Perak.
Artikel Berkaitan:


“Setakat ini, kita hanya mengekalkan seorang pemain import, Paulo Josue. Barisan kejurulatihan masih menilai beberapa pemain luar negara untuk dinilai sebelum kita membuat sebarang keputusan," ujarnya.