Liek Hou gagal tebus kecewa, terpaksa puas hati raih perak

Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 pada temasya Sukan Para Asia Hangzou. - Foto Bernama
Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 pada temasya Sukan Para Asia Hangzou. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH badminton para dunia, Cheah Liek Hou gagal menebus kekecewaan untuk meraih emas selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Para Asia 2022 sebentar tadi.

Ia selepas pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditewaskan seteru utamanya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-18, 19-21, 17-21 dalam perlawanan sengit pada aksi final berlangsung di Gimnasium Binjiang di sini pada Jumaat.

Kekalahan itu sekali gus gagal menebus kekecewaannya pada penyertaan terakhirnya di Sukan Asia yang sebelum ini Liek Hou hanya meraih pingat gangsa pada Sukan Para Asia Jakarta-Palembang pada 2018.

"Tadi saya dah cuba untuk main dengan baik tapi dia dapat banyak pukulan yang bernasib baik dan kacau rentak saya.

"Di set ketiga rasanya saya banyak buat kesilapan sehingga kehilangan banyak mata. Tak berpuas hati dengan keputusan ini namun saya kena terima," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Pingat perak yang dirangkulnya hari ini bagaimanapun menjadi pingat ke-33 Malaysia di temasya empat tahun sekali itu.

Sebagai rekod Liek Hou memenangi pingat emas pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: