X

Kindly register in order to view this article
!

Gangguan bekalan air dijangka pulih tiga hari lagi

Penduduk menadah air daripada 12 paip air yang disediakan oleh pihak Air Selangor di tepi Jalan 4/2 Seksyen 4 Bandar Baru Bangi berikutan gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar kawasan tersebut. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang serta sebahagian kawasan Putrajaya dijangkakan pulih sepenuhnya tiga hari lagi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, ketika ini pihak Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dalam proses meningkatkan paras kolam imbangan dan penyaluran ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan di kawasan terjejas.

Menurutnya, selepas itu barulah bekalan akan disalurkan ke premis pengguna yang terlibat.

“Oleh kerana gangguan bekalan air tidak berjadual ini berskala besar, maka tempoh pemulihan bekalan air kepada pelanggan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

“Pengguna yang berada di kawasan berdekatan dengan sistem agihan akan menerima bekalan air mulai tengah malam ini secara berperingkat.

“Air Selangor menjangkakan bekalan air kembali pulih sepenuhnya di wilayah terlibat dalam tempoh anggaran 72 jam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halem berkata, LRA Bukit Tampoi masih belum mula beroperasi semula kerana paras pencemaran bau masih dikesan di muka sauk.

Menurutnya, sementara bekalan air pulih sepenuhnya, bantuan kecemasan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas.

“Sebanyak 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih meneruskan operasinya 24 jam termasuk penambahan empat lagi lokasi pili awam yang menjadikan keseluruhannya 18 lokasi pili awam disediakan.

“Pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan ini boleh terus rujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Pihak Air Selangor sentiasa mengemaskini maklumat dari semasa ke semasa untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini talian bebas tol 15300 dan laman sesawang Air Selangor mengalami kesesakan trafik dan panggilan masuk yang tinggi.

Bagaimanapun beliau berkata, pengguna masih boleh menghubungi Air Selangor menerusi WhatsApp ke talian 019-2800919 / 019-2816793 untuk bantuan.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran terbabit.

Jumlah akaun pengguna terjejas bertambah kepada 336,930 apabila LRA Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihentikan operasi sejak semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Semenyih tercemar: 328, 957 akaun alami gangguan bekalan air

LRA Bukit Tampoi pula henti operasi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!