Permaisuri Rania bidas dunia barat 'pilih kasih' isu Palestin-Israel

Permaisuri Rania - Foto Instagram/@queenrania
Permaisuri Rania - Foto Instagram/@queenrania
A
A
A

PERMAISURI Rania Al Abdullah dari Jordan menegaskan, terdapat 'piawaian pilih kasih yang ketara' dalam perang Israel-Hamas oleh dunia Barat.

Kata beliau, 'piawaian pilih kasih’ itu jelas ketara apabila dunia Barat mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober, namun tidak pula membidas pengeboman Gaza oleh Israel atau mendesak gencatan senjata dilakukan.

"Apabila serangan Hamas pada 7 Oktober berlaku, dunia begitu pantas dan teguh berdiri di belakang Israel dengan hak mereka untuk mempertahankan diri serta mengutuk serangan yang berlaku.

“Tetapi apa yang kita saksikan dalam beberapa minggu yang lalu, kita saksikan sikap berdiam diri di seluruh dunia," kata beliau dalam wawancara dengan CNN pada Selasa.

"Adakah kita diberitahu bahawa adalah salah membunuh sebuah keluarga, seluruh keluarga, dengan pistol, tetapi adalah okey untuk menggempur mereka hingga mati?

"Saya maksudkan, terdapat 'piawaian pilih kasih' di sini.

"Ini hanya menggemparkan dunia Arab," katanya lagi.

Dalam masa sama, Permaisuri Rania mengkritik pemimpin-pemimpin dunia kerana tidak mendesak gencatan senjata dilakukan ketika Israel 'menggempur Gaza secara meluas.'

Artikel Berkaitan:

"Bagi banyak orang di rantau kami, ia memperlihatkan dunia barat bersubahat melalui sokongan dan perlindungan yang mereka berikan kepada Israel," katanya.

"Banyak orang di dunia Arab melihat dunia Barat bukan sahaja bertoleransi, tetapi juga membantu dan menyokongnya (Israel)."

Permaisuri Rania juga memberitahu, rakyat Jordan bersatu dalam kesedihan mereka dan bahawa beliau tidak percaya dengan gambar-gambar menggemparkan yang diedarkan luar dari Gaza.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan perang ini.

'Kemanusiaan harus dipertimbangkan' untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke penduduk Gaza, kata Blinken dengan mengecualikan penggunaan frasa 'gencatan senjata'.

Pada Isnin, Presiden AS, Joe Biden pantas membetulkan kenyataan yang keluar dari mulutnya selepas meminta 'gencatan senjata' dilakukan.

"Bukan gencatan senjata. Kita patut mempunyai tawanan yang perlu dibebaskan dan kemudian kita boleh berbincang (mengenai gencatan senjata)," tegas Biden memberi peringatan kepada Hamas.

Itu merupakan kenyataan bertulis pertama Biden yang dikeluarkan selepas Hamas menyerang Israel.

Namun begitu, tiada sebarang penegasan merujuk kepada frasa 'gencatan senjata' dan beliau serta pegawai kanannya tidak pernah walau sekali menggesa secara terbuka tindakan itu perlu diambil.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres juga menyeru 'gencatan senjata kemanusiaan segera' dilakukan di wilayah konflik ini. - Awani