Kembar menyusul pergi...

Jenazah Muhamad Najib selamat dikebumikan bersebelahan kubur kembarnya di Tanah Perkuburan Islam Changkat Ibol, Bukit Gantang sekitar jam 2.40 petang tadi.
Jenazah Muhamad Najib selamat dikebumikan bersebelahan kubur kembarnya di Tanah Perkuburan Islam Changkat Ibol, Bukit Gantang sekitar jam 2.40 petang tadi.
A
A
A

TAIPING - [DIKEMASKINI] Selepas lebih dua minggu bertarung nyawa, kembar kepada Allahyarham Muhamad Nabil Muhamad Fakri yang terkorban dalam kemalangan pada 7 Disember lalu menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Muhamad Najib Muhamad Fakri, 16, meninggal dunia di Hospital Taiping kira-kira jam 1.50 pagi tadi kesan komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru selepas 16 hari menerima rawatan akibat parah dalam nahas berkenaan.

Ibunya, Che Manishah Md Noh, 52, ketika ditemui reda dengan pemergian anak kembarnya itu dan menganggap ia sebagai kematian yang mulia memandangkan kedua-duanya dalam perjalanan pulang setelah terbabit dalam program ilmiah.

"Dari kecil mereka memang sering bersama ke mana-mana, malah kad pengenalan Najib pun, Nabil yang pegangkan.

"Kami sekeluarga sudah reda dengan apa yang berlaku, ALLAH pinjamkan mereka kepada kami setakat ini sahaja," katanya.

Dalam kejadian itu, motosikal dinaiki dua beradik kembar seiras terbabit bertembung dengan sebuah motosikal di Kilometer 1.1 Jalan Changkat Jering-Taiping berhampiran Air Kuning.

Kejadian sekitar jam 12.35 malam itu menyebabkan Muhamad Nabil bersama penunggang motosikal berusia 23 tahun meninggal dunia di hospital pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Amal Pas membantu menguruskan proses pengebumian Muhamad Najib.
Jabatan Amal Pas membantu menguruskan proses pengebumian Muhamad Najib.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi Batu 9 itu dikatakan aktif bersama sukarelawan Jabatan Amal Pas.

Che Manishah berkata, oleh kerana kedua-duanya mempunyai wajah seiras, berlaku sedikit kekeliruan pengecaman mayat mangsa yang lalu.

Katanya, pengecaman mayat dilakukan suaminya serta seorang lagi anak mereka pada awalnya mengesahkan si mati adalah Muhamad Najib.

"Ketika kemalangan itu berlaku, saya masih berada di Makkah kerana mengerjakan umrah, selepas empat hari kejadian barulah saya dapat melihat anak saya di hospital.

"Pada kesempatan itulah, saya mula sedar bahawa yang meninggal dunia pada hari kejadian adalah Nabil, ini berdasarkan tanda tahi lalat yang ada pada bahu kiri Najib.

"Kemalangan menyebabkan kedua-dua anak saya mengalami banyak luka dan bengkak termasuk di bahagian muka, mungkin sebab itu menyukarkan pengecaman dibuat," katanya.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat pada Sabtu lalu bagi pembetulan ke atas sijil kematian oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jenazah Muhamad Najib selamat dikebumikan bersebelahan kubur kembarnya di Tanah Perkuburan Islam Changkat Ibol, Bukit Gantang sekitar jam 2.40 petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja maut, kembar cedera parah