Malaysia negara kedua paling berinovatif

Lih Kang
Lih Kang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berada di kedudukan kedua paling berinovatif dalam kalangan 36 negara Kumpulan Berpendapatan Sederhana Atasan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Malaysia juga kekal berada di kedudukan kedua selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN.

“Negara ini juga kekal pada kedudukan ke-36 daripada 132 negara dalam laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, namun mencatatkan peningkatan skor kepada 40.9 tahun ini berbanding 38.7 pada 2022.

“Peningkatan skor didorong pelbagai inisiatif antaranya penubuhan Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing Global Innovation Index sejak 2021 melalui Pendekatan Keseluruhan Kerajaan, membabitkan semua kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan.

"Bengkel Penyelarasan Input Inisiatif Global Innovation Index sudah diadakan pada September lalu membabitkan semua kementerian dengan objektif mengumpul data yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi inovasi GII,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai strategi inovasi dan pengkomersialan (C&I) yang akan digarap dalam penyampaian perkhidmatan awam bagi mendukung Malaysia menjadi antara 30 negara terunggul dalam GII menjelang 2025.

Dalam pada itu Lih Kang berkata, bagi memastikan Malaysia berada di kedudukan 30 negara teratas dalam GII menjelang tahun 2025, kementerian tersebut akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya menggiatkan usaha pengkomersialan dengan pengukuhan dan pelaksanaan Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Reka Cipta Dibiayai Kerajaan 2021 hingga 2025.

“Selain itu, penggubalan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu kesihatan manusia dan hubung kait dengan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim yang turut diukur dalam GII.

Artikel Berkaitan:

“Mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi yang dianggotai pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta wakil-wakil industri untuk menyokong inisiatif negara dalam pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi yang adaptif,” ujarnya.