Sofyank sindir cubaan media Israel fitnah pemimpin Hamas guna AI

Tangkap layar hantaran di aplikasi X Sofyank yang menyindir cubaan media Israel memfitnah pemimpin Hamas.
Tangkap layar hantaran di aplikasi X Sofyank yang menyindir cubaan media Israel memfitnah pemimpin Hamas.
A
A
A

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial, Muhammad Sofian Abdullah atau Sofyank menyindir cubaan media Israel untuk memfitnah pemimpin Hamas menerusi suntingan gambar menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menerusi hantaran di platform X, Sofyank berkata, kesan suntingan yang dilakukan jelas dapat dikesan.

Beberapa keping gambar yang ditularkan oleh personaliti media Israel, Hananya Faftali menunjukkan pemimpin Hamas menaiki pesawat peribadi, menikmati hidangan di restoran dan bersukan dalam suasana mewah ketika rakyat Palestin sedang bergelut dengan peperangan.

“Tekstur muka lari terlalu jauh daripada yang sepatutnya, sampaikan ada yang hilang hidung.

“‘Cropping’ tak bersih, boleh 'touch' lagi untuk buang strok putih di kepala. Mungkin akan datang boleh guna gambar yang asli. Percubaan yang baik,” sindirnya.

Dalam pada itu, Sofyank berkata, gambar-gambar tersebut diambil pada tahun 2014, namun telah disunting kembali berdasarkan sumber yang diperolehi.

“Ini saya ada baca tadi, mereka gunakan gambar daripada hantaran tahun 2014 dan jana gunakan AI atau aplikasi ‘clear photo’ bagi dapatkan gambar yang lebih jelas untuk dijadikan bahan bualan, tetapi gambar ini jadi makin teruk,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sofyank yang berbakat besar dalam bidang suntingan video kesan visual (VFX) menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai Ultimate VFX Challenge di Los Angeles pada April lalu.