Subsidi bersasar bantu tarik minat pemilikan EV - Nik Nazmi

Nik Nazmi ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
Nik Nazmi ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan subsidi bersasar dapat menarik minat pemilikan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sektor EV di China berkembang pesat apabila pengguna terpaksa membayar kos sebenar untuk bahan api jika terus menggunakan kenderaan bukan mesra alam, katanya.

"Dalam subsidi bersasar, perkara besar adalah berkaitan petrol. Bila ada subsidi bersasar berdasarkan pendapatan isi rumah, pengguna terpaksa membayar kos sebenar (untuk bahan api) dan kemungkinan ramai antara mereka akan beralih kepada EV.

"Ia juga akan menjadi satu faktor penting negara-negara lain seperti China dapat berkembang dengan sangat cepat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini

Nik Nazmi menjawab soalan tambahan Wong Chen (PKR-Subang) yang ingin tahu sama ada kerajaan terbuka meningkatkan sasaran jumlah kenderaan EV berbanding 1.5 juta unit menjelang tahun 2040 dan memperkenalkan insentif-insentif seperti diguna pakai oleh China.

Beliau bersetuju dengan saranan Wong bahawa wujud keperluan mengkaji semula sasaran yang ditetapkan supaya lebih agresif bagi memastikan negara mencapai matlamat yang lebih bermakna.

"Banyak perkara berubah, mungkin kita perlu satu sasaran lebih tinggi,” katanya.

Menurut Wong, sebanyak 23 juta kenderaan aktif di dalam negara dan sasaran 1.5 juta EV hanyalah tujuh peratus daripada jumlah itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau ingin tahu adakah kerajaan akan melihat keperluan untuk perlu meningkatkan sasaran kenderaan EV menjelang 2040 kepada 20 peratus ataupun 30 peratus. - Bernama