X

Kindly register in order to view this article
!

Premis jual makanan dilarang beroperasi ketika banjir

Noor Hisham
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati masih menjalankan operasi walaupun premis perniagaan dinaiki air.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penutupan premis dan kompaun mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di semua premis makanan termasuk yang masih beroperasi semasa banjir.

“Ini kerana air banjir adalah kotor dan mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berisiko mencemari makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihaknya ambil maklum susulan laporan sebuah akhbar mengenai sebuah premis makanan yang menjual mi celup ketika banjir di Kelantan.

Justeru, KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan prihatin kepada pemilihan premis makanan, penjagaan kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir.

“Ini termasuklah untuk minum air dan makan makanan yang telah dimasak sahaja, elakkan memakan makanan mentah seperti ulam-ulaman dan makanan yang terdedah.

“Selain itu, jaga kebersihan diri dan amalkan membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas serta dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!