Perak sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030

Saarani (dua dari kiri) mengiringi Raja Jaafar (tengah) ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.
Saarani (dua dari kiri) mengiringi Raja Jaafar (tengah) ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedang menyasarkan menjadi negeri sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030 apabila bakal menggunapakai sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal baharu melalui kaedah thermowaste.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, teknologi tersebut merupakan kaedah pengasingan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah.

Menurutnya, menerusi teknologi berkenaan sisa pepejal yang diasingkan boleh memberi pulangan pendapatan melalui penghasilan komoditi seperti biojisim, plastik dan logam untuk dijual kepada pihak industri.

"Melalui inisiatif strategik ini, kerajaan negeri menyasarkan Perak sebagai negeri sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030 dan ini bertepatan dengan prinsip ketiga dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu kelestarian penggunaan sumber dan sasaran menjadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030.

"Sekiranya semuanya berjalan lancar, Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia yang akan mengitar semula 100 peratus sisa pepejal menggunakan teknologi mesra alam, yang kemudiannya boleh diperluaskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negeri," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.

Saarani berkata, teknologi thermowaste yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, termasuk Poland dan Sepanyol dilihat berupaya menangani isu alam seperti pencemaran bau sekaligus mampu meningkatkan kualiti kesihatan awam.

Menurutnya, MBI telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Thermowaste Mancuso Energy Sdn Bhd dan Selekta Spektra pada 17 Oktober lalu bagi membolehkan kajian menyeluruh dibuat bagi cadangan pembinaan loji thermowaste yang dijangka bermula Mac tahun hadapan.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Afifullah Shah sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta yang turut diadakan sempena program tersebut.

Artikel Berkaitan: