Pemimpin Islam perlu bangun, gerakkan tentera tanpa harapkan PBB

Penduduk Palestin berkumpul untuk solat Jumaat mingguan Muslim di taman permainan sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja UNRWA di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada Jumaat. - Foto AFP (Gambar kecil: Mohd Anas)
Penduduk Palestin berkumpul untuk solat Jumaat mingguan Muslim di taman permainan sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja UNRWA di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada Jumaat. - Foto AFP (Gambar kecil: Mohd Anas)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemimpin Islam yang mempunyai kuasa perlu bangun untuk menggerakkan tentera mereka tanpa mengharapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjaga kepentingan umat Islam.

Bekas Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral (B) Mohd Anas Hasan berkata, negara Islam sebenarnya sudah mempunyai pakatan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Mereka (pejuang Hamas) berperang di sana (Palestin), maka Muslim seluruh dunia jangan jadi penonton.

"Maksudnya, orang awam memang tidak boleh pergi berperang kerana yang menggerakkan tentera adalah negara.

“Masa untuk menyedarkan para pemimpin ini supaya mengikut syariat ALLAH SWT seperti yang diingatkan dalam agama supaya memesan dengan kebenaran dan sabar.

“Maka, di sini peranan ulama. Saya mendoakan dan mengharapkan pemimpin-pemimpin Muslim yang ada kuasa sekarang untuk bangun bagi gerakkan tentera mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu Bersama FY: Al-Aqsa, Ke Mana Akhirnya yang dihoskan Finaz Yunus dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Turut diundang sebagai panelis ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Anas, sekiranya umat Islam melihat sahaja tanpa berbuat sebarang tindakan, dikhuatiri termasuk dalam kategori Rasulullah SAW berpesan iaitu orang yang tidak pernah atau menyiapkan diri untuk berperang yakni mati atas satu cabang daripada nifak dan munafik.

“Yang ini untuk orang biasa, lagi-lagi orang ada kuasa. Maka, kita tidak boleh jadi penonton kerana sudah tahu bagaimana mereka di sana dalam keadaan tertekan serta serba kekurangan.

“Kita semua sebenarnya kena bersedia untuk pergi. Bahkan jika disuruh pun, saya mahu kerana di sana ada janji syahid dan perjuangan yang tidak akan sia-sia.

“Bagi saya, apa yang berlaku sebenarnya bukan perkara merugikan kita tetapi iktibar bahawa ada sesuatu yang ALLAH SWT beri peluang untuk menyedarkan umat Islam supaya ambil bahagian dalam menjaga amanah, maruah dan kehormatan,” ujarnya.

Beliau berkata, tanah bumi Palestin itu bukan milik rakyat di sana semata-mata tetapi umat Islam seluruh dunia.