Misi ke Piala Asia 2023!

Foto: FAM FB
Foto: FAM FB
A
A
A

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe kekal akan mengendalikan Harimau Malaya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menawarkan kontrak baharu untuk tempoh dua tahun sehingga akhir 2020.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Mohd Yusoff menjelaskan tawaran kontrak tersebut hadir bersama dua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan ke atas pengendali berusia 50 tahun itu, mara ke final Piala AFF Suzuki 2020 dan layak ke Piala Asia 2023.

“Jawatankuasasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebulat suara bersetuju melantik semula Tan Cheng Hoe kerana kontraknya tamat bulan lepas, untuk memberi peluang meneruskan agenda memartabatkan pasukan kebangsaan.

“Sudah tentu untuk tahun mendatang, KPI diletakkan lebih tinggi dan beliau (Cheng Hoe) sanggup menerima cabaran itu. Jadi kita harap dengan pelantikan Cheng Hoe ini akan menggembirakan peminat tempatan selain melenyapkan segala spekulasi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui KPI mara ke Piala Asia 2023 bukan satu perkara mustahil, namun memerlukan komitmen semua pihak termasuk penyokong tanah air sekiranya ingin melihat Malaysia beraksi di peringkat tertinggi.

“Ia satu cabaran tetapi saya juga mempunyai sasaran sama. Untuk itu, kita perlukan satu komitmen yang tinggi bukan daripada saya dan FAM sahaja, tetapi barisan pemain. Selain itu, peminat juga perlu berikan komitmen dengan memberi sokongan kepada pasukan negara,” katanya.

Untuk rekod, Cheng Hoe yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Disember 2017 menggantikan Nelo Vingada, berjaya meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya setelah mencapai KPI membawa Malaysia mara ke final Piala AFF 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: