PN perlu nilai kekuatan jentera kawasan sebelum letak calon

Sallehen ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69, di sini pada Sabtu.
Sallehen ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69, di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas perlu menilai kekuatan jentera yang boleh membantu kemenangan di satu-satu kerusi pilihan raya, bukan sekadar membincangkan mengenai pemilihan calon.

Pembahas Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, perbincangan mengenai kedua-dua perkara itu juga perlu dilakukan sekarang, bukannya menunggu apabila sudah hampir pilihan raya.

Menurutnya, satu pasukan perlu ditubuhkan untuk menilai bantuan kekuatan yang mesti diberikan kepada satu-satu kawasan.

“Kita ambil (contoh) yang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) belum menang, jadi perlu ada satu panduan serta perlu ada satu piawaian yang diberikan.

“Kita tidak mahu hanya meletakkan calon sedangkan jentera mereka tidak ada. Sebab itu perlu diteliti dengan baik daripada sekarang sebab ada kawasan ada parti yang dia tidak ada jentera, hanya bawa resume pergi jumpa pimpinan boleh jadi calon.

“Yang ini mesti dinilai sebab itu kita harap tidak hanya dekat pilihan raya, sekarang sudah boleh buat," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 di sini pada Sabtu.

Tambah Sallehin, penilaian perlu dimulakan segera sebagai asas kebolehmenangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pimpinan dalam PN (boleh) teropong tengok satu Parlimen satu DUN siapa paling layak supaya dapat menilai kebolehmenangan itu sebagai asas untuk kita membuat keputusan.

Artikel Berkaitan:

"Maknanya kalau tidak capai piawaian ini tidak kira Pas atau Parti Bersatu...tidak perlu meletakkan calon di situ,” katanya.