GCC-ASEAN gesa gencatan senjata di Gaza

Para pemimpin semasa Sidang Kemuncak GCC-ASEAN telah bertukar pandangan dan menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap perkembangan di Asia Barat. - Foto AFP
Para pemimpin semasa Sidang Kemuncak GCC-ASEAN telah bertukar pandangan dan menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap perkembangan di Asia Barat. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Para pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN menggesa gencatan senjata yang berkekalan di Gaza dan memastikan akses bantuan kemanusiaan yang berkesan dan cekap, serta penghantaran tanpa halangan bahan api, makanan dan ubat-ubatan ke seluruh Gaza.

Menurut kenyataan bersama GCC dan ASEAN semasa Sidang Kemuncak GCC-ASEAN pada 20 Oktober, para pemimpin telah bertukar pandangan dan menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap perkembangan di Asia Barat.

Mereka mengutuk semua serangan terhadap orang awam, dan menggesa semua pihak dalam konflik supaya melindungi orang awam, mengelak daripada mensasarkan mereka, dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama prinsip dan peruntukan Konvensyen Geneva Berkaitan Perlindungan Orang Awam pada Masa Perang 12 Ogos 1949.

Mereka menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat tebusan dan tahanan awam, terutama wanita, kanak-kanak, orang sakit dan warga tua, menurut kenyataan bersama yang disediakan di laman sesawang Saudi Press Agency (SPA).

Para pemimpin menggesa semua pihak berkaitan supaya berusaha ke arah penyelesaian damai bagi konflik itu dengan tujuan merealisasikan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 mengikut undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang berkaitan.

Pemimpin kedua-dua blok itu juga bersetuju untuk menyokong inisiatif Arab Saudi, Kesatuan Eropah dan Liga Negara Arab untuk menghidupkan semula proses damai Asia Barat dengan kerjasama Mesir dan Jordan, dan menyelesaikan pertikaian Israel-Palestin mengikut undang-undang antarabangsa serta semua resolusi PBB mengenai konflik ini.

Sidang Kemuncak pertama itu, menghimpunkan dua blok terkemuka yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN dan enam anggota GCC - Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman. - Bernama-SPA

Artikel Berkaitan: