Aeydan penyambung legasi Rabbani

Aeydan merupakan anak-anak anggota kumpulan Rabbani.
Aeydan merupakan anak-anak anggota kumpulan Rabbani.
A
A
A

MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Perumpamaan itu sesuai untuk menggambarkan kewujudan kumpulan nasyid baharu, Aeydan yang sebenarnya merupakan anak-anak anggota kumpulan Rabbani.

Aeydan dianggotai anak keempat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, Muhammad Ilham Fikri selaku vokalis utama bersama Mohd Izwan Izzuddin (anak Azadan), Muhammad Farhan Islah (anak Rithauddin), Muhammad Arif Haikal (anak Rahmat), Muhammad Alif Ihsan (anak Nazrul) dan Mohammad Fardeen Imran (anak Rithauddeen) tampil dengan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni.

Mengulas idea penubuhan Aeydan, ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, Aeydan sebelum ini dikenali sebagai Rabbani Junior dan pemergian Ustaz Asri pada 2009 telah mencetuskan idea untuk mencari pelapis Rabbani.

“Ketika itu masing-masing masih kecil dan bersekolah rendah, tetapi kami ada perkenalkan mereka kepada media. Bagaimanapun bila mereka sudah memasuki sekolah menengah dan ada yang ke sekolah berasrama, agak sukar untuk kumpulkan mereka.

“Sehinggalah bila mereka sudah tamat pengajian, mereka kembali aktif dan merancang untuk muncul serta dikenali sebagai Aeydan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tidak sekadar menumpang nama Rabbani, Azadan berkata, Aeydan sudah mula diketahui dan meneruma undangan persembahan sendiri.

“Setakat ini kemunculan Aeydan membantu juga buat kumpulan Rabbani. Contoh kalau Rabbani ada undangan bertindih, kami akan cadangkan Aeydan.

“Ada ketikanya, kami turut mengundang Aeydan sewaktu membuat persembahan,” katanya yang boleh dihubungi di talian 01132621042 bagi sebarang maklumat tentang persembahan Aeydan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai kumpulan Aeydan, Ilham berkata, mereka memilih nama kumpulan itu kerana mempunyai auranya tersendiri.

“Dalam bahasa Greek atau latin sebutannya Eden iaitu bermaksud satu tempat yang cantik dan indah.

“Sebutan perkataan Aeydan juga rasa lebih moden, klasik dan futuristik. Semoga dengan nama ini, Aeydan akan rasa lebih bersemangat dan berjaya,” jelasnya.

Ilham
Ilham

Tambah Ilham, sebagai permulaan, mereka tampil dengan single berjudul Bintang, sentuhan kreatif dan terbitan bersama komposer terkenal Daqmie serta Wan Saleh yang sinonim dengan genre nasyid moden serta irama World Music.

“Bintang merupakan penceritaan tentang tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam dunia dakwah khususnya penasyid-penasyid generasi awal. Mereka adalah idola Aeydan dan jasa mereka menyebarkan syiar islam akan dikenang dan disambung.

“Projek Bintang ini adalah satu kolaborasi bersama beberapa figura nasyid seperti Daqmie, Wan Saleh, Saujana, Nowseeheart dan Rabbani melalui label Scriptology Music dan Rabbani Empire Resources,” tuturnya.

Ilham berkata, video muzik Bintang diterbitkan oleh Kashfy Studio dan diarahkan oleh Suhairil Izham. Muzik video ini dirakamkan berlatar belakangkan hangar kapal terbang, Politeknik Banting.

Satu mesej besar yang dibawa pengarah dalam muzik video ini adalah: Dari Banting ke Bintang. Tanpa ilmu, usaha dan impian tinggi tak bisa dicapai.