Mapim gesa Malaysia main peranan desak OIC bertegas

Mohd Azmi (tengah) ketika melancarkan tabung bantuan kemanusiaan Palestin sempena Majlis Penerangan Keadaan Gaza, Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Jumaat.
Mohd Azmi (tengah) ketika melancarkan tabung bantuan kemanusiaan Palestin sempena Majlis Penerangan Keadaan Gaza, Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyarankan kerajaan Malaysia untuk menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melaksanakan tindakan konkrit dalam menyelesaikan isu kekejaman Israel terhadap Palestin.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pada masa sama Malaysia juga perlu mengumpulkan beberapa negara penting seperti Indonesia, Pakistan, Turkiye, Qatar, Kuwait, Mesir dan Arab Saudi untuk mendesak tindakan dikenakan ke atas Israel.

Menurut beliau, usaha itu penting memandangkan tidak semua negara Islam benar-benar serius dalam konflik yang berlaku biarpun OIC telah mengeluarkan kenyataan berhubung situasi di Gaza ketika ini.

"Kita menyarankan beberapa perkara untuk kerajaan Malaysia lakukan antaranya cuba untuk memimpin atau mengusulkan supaya OIC melakukan kerja konkrit tidak hanya membuat resolusi, mengecam kemudian diam tetapi bagaimana seluruh negara OIC boleh digembleng untuk mengkoordinasi dua perkara satu bantuan kemanusiaan dan bagaimana nak menghentikan apa dilakukan Israel sekarang.

"Inilah masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memimpin dan mengkoordinasi apa yang kita nak buat, jadi itu yang kita sarankan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Keadaan Gaza, Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Jumaat.

Mohd Azmi berkata, pihak juga mengharapkan kerajaan Malaysia mengambil peranan mendesak supaya Israel dihukum oleh mahkamah antarabangsa kerana melakukan jenayah perang.

Katanya, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi meredakan ketegangan yang sedang berlaku di negara-negara berhampiran Palestin-Israel.

"Ada tanda-tanda peperangan di Palestin akan berkembang ke kawasan lain. Sudah ada ketegangan antara Israel-Lubnan, Israel-Syria, Israel-Iran. Gambarannya peperangan ini nampak akan berkembang dan ini akan menjadi sangat bahaya.

Artikel Berkaitan:

"Kami merasakan bahawa Malaysia perlu ambil peranan bagaimana desakan kita supaya Israel itu akan dihukum dan tidak berlaku perang dunia tetapi sangat tipis sebab Amerika main peranan," katanya.

Beliau menegaskan MAPIM akan menggembleng pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dunia untuk memberi tekanan ke atas Israel melalui boikot secara habis-habisan.

Sementara itu Mohd Azmi berkata, pihaknya bersama-sama Yayasan Al-Quds Malaysia sedang menggerakkan misi bantuan ke Gaza, Palestin.

Katanya, bantuan berupa penghantaran makanan melibatkan 5,000 keluarga sedang diusahakan menggunakan bantuan pembekal yang ada di Gaza.

Jelasnya, selain itu kutipan sumbangan juga sedang dibuat bagi membantu pasukan menyelamat untuk membeli peralatan yang diperlukan.

Mohd Azmi berkata, sasaran kutipan dianggarkan sebanyak RM2 juta bagi bantuan makanan kepada keluarga manakala RM250,000 bagi membeli peralatan menyelamat baharu.