Lebih RM1 juta kompaun kesalahan merokok dikeluarkan

Jumlah kompaun itu merupakan hasil aktiviti penguatkuasaan kementerian terhadap 23,093 premis yang dilawati sepanjang September lalu. - Gambar hiasan
Jumlah kompaun itu merupakan hasil aktiviti penguatkuasaan kementerian terhadap 23,093 premis yang dilawati sepanjang September lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 4,753 kompaun dengan nilai tawaran berjumlah RM1,168,050 susulan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kompaun itu merupakan hasil aktiviti penguatkuasaan kementerian terhadap 23,093 premis yang dilawati sepanjang September lalu.

"Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, sejumlah 2,566 tawaran kompaun bernilai RM1,283,000 telah dikeluarkan dengan purata RM500 turut dikeluarkan bagi tempoh sama," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ujar Dr Muhammad Radzi, daripada jumlah itu 523 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah.

"Dalam masa yang sama sebanyak 95 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM161,650," jelasnya.

Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, beliau berkata, sebanyak 6,003 premis makanan telah diperiksa.

"Sebanyak 176 premis yang diperiksa telah diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 akta sama," katanya.

Tegas Dr Muhammad Radzi, tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh kementerian.

"Orang ramai dan semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum," katanya.