Sanggup rempuh polis sebab tiada lesen memandu

Seorang penunggang motosikal sanggup merempuh anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Pantai Irama, Bachok pada Rabu kerana tidak mempunyai lesen memandu. - Gambar hiasan
Seorang penunggang motosikal sanggup merempuh anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Pantai Irama, Bachok pada Rabu kerana tidak mempunyai lesen memandu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal sanggup merempuh anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Pantai Irama, Bachok pada Rabu kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Deerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki terbabit menunggang sebuah motosikal Honda EX5 melalui sekatan berkenaan.

Menurut beliau, pada mulanya suspek berusia 24 tahun itu memperlahankan motosikal dan tiba-tiba memecut laju lalu merempuh anggota polis yang sedang bertugas.

"Akibat rempuhan itu anggota berkenaan mengalami luka di bahagian lutut, kaki dan badan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohamad Ismail, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan polis.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu tidak menemui barangan terlarang selain tiada rekod jenayah.

"Hasil siasatan mendapati lelaki tersebut cuba melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu dan kenderaannya dirampas.

"Lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (Khamis) untuk siasatan di bawah Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: