Doktor kongsi pengalaman sambut bayi dalam treler di LPT

Dr Alpha (tengah) bersama petugas yang terbabit dalam kejadian wanita melahirkan bayi dalam treler. - Foto @alepzaki
Dr Alpha (tengah) bersama petugas yang terbabit dalam kejadian wanita melahirkan bayi dalam treler. - Foto @alepzaki
A
A
A

TEMERLOH - Seorang doktor, Dr Alpha Zaki berkongsi pengalamannya menyambut kelahiran bayi di dalam treler di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Kilometer (KM) 121 hala Kuantan di sini pada Rabu.

Menggunakan nama pengguna @alepzaki, doktor itu membuat hantaran di aplikasi X dan menyifatkan ia pengalaman sepanjang hayat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, doktor tersebut memberitahu mendapat panggilan kes tersebut dan hanya mendapat maklumat minimum mengenai wanita tersebut.

"Beranak dalam lori di lebuh raya. Pengalaman perkhidmatan. Dapat panggilan ada kes nak bersalin dalam lori, lokasi LPT KM 121 hala Kuantan.

"Maklumat pasal ibu minimum. Sepanjang persiapan di klinik, 2-3 kali senarai semak barang-barang kerana expect the worst," kata hantaran tersebut.

Tambahnya, ketika tiba di lokasi kejadian kelihatan dua pegawai polis trafik menjaga lalu lintas dengan pintu treler terbuka luas.

Dr Alpha (tengah) bersama bayi, jururawat dan anggota polis. - Foto @alepzaki
Dr Alpha (tengah) bersama bayi, jururawat dan anggota polis. - Foto @alepzaki

Beliau berkata, turut melihat pakaian berlumuran darah yang diletakkan di atas rumput berhampiran sebuah treler sebelum memanjat kenderaan terbabit.

Kemudian, katanya, beliau ternampak dua susuk tubuh terbaring iaitu si ibu yang memejamkan mata dan bayinya berada di celah kangkang sebelum melakukan prosedur memotong tali pusat dan lain-lain.

"Pesakit dan bayi dimasukkan ke dalam ambulan dan dibawa ke dewan bersalin HoSHAS.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih pihak LPT, polis trafik dan staf labor room HoSHAS kerana memudahkan urusan. Pengalaman sepanjang hayat," tambah doktor tersebut.