PWM putus hubungan dengan Seksyen Sukan BPS KPT

Chong Kim Fatt
Chong Kim Fatt
A
A
A

PERSEKUTUAN Wushu Malaysia (PWM) membuat keputusan drastik memutuskan segala bentuk kerjasama dengan Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik (BPS) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PWM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, keputusan tersebut menyaksikan PWM tidak akan menyertai apa jua kejohanan dikelolakan Seksyen Sukan BPS KPT termasuk temasya seperti Sukan Universiti Dunia (Universiade) dan Sukan Universiti ASEAN selepas ini.

Beliau mendakwa antara isu membuatkan PWM ‘hilang sabar’ sejak mula bekerjasama pada 2012 ialah apabila Seksyen Sukan BPS KPT tidak mengutus surat permohonan kepada badan induk itu untuk menyenarai atlet wushu negara, selain tidak menyatakan penghargaan kepada mereka sekiranya atlet pulang dengan kejayaan membanggakan pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan disertai.

"Walaupun atlet wushu sering memenangi pingat dalam temasya pelbagai sukan yang dikelolakan oleh Seksyen Sukan BPS KPT termasuk kejayaan memenangi sebutir pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan dalam Universiade sejak 1985, mereka tidak mengutus sebarang surat penghargaan kepada PWM.

"Ini menunjukkaan kejayaan tersebut seumpama hasil usaha Seksyen Sukan, BPS KPT sahaja. Sikap dan tindakan sedemikian adalah tidak menghargai dan tidak menghormati PWM sama sekali,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Julai lepas, atlet wushu Tammy Tan Hui Ling melakar sejarah apabila menamatkan penantian 38 tahun meraih pingat emas pertama Malaysia pada Universiade di Chengdu, China selepas mengungguli acara Qiangshu wanita dengan catatan 9.613 mata.

Bukan itu sahaja, Kim Fatt berkata, seksyen sukan itu juga tidak pernah menyumbang dalam pembangunan sukan wushu termasuk dari aspek membekalkan pakaian mahupun peralatan untuk program latihan atlet negara.

"Walapun Seksyen Sukan BPS KPT hanya meminjam atlet dan jurulatih daripada PWM dan Majlis Sukan Negara selama ini, mereka langsung tidak pernah berterima kasih mahupun menghargai peranan dan sumbangan kami,” katanya dan menambah mereka akan mencari rakan kongsi lain untuk membangunkan sukan wushu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan BPS KPT, Datuk Dr Pekan Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya bersedia berjumpa dengan PWM bagi menjernihkan semula keadaan demi kebaikan atlet wushu negara. - Bernama