Terbuka Denmark: Tze Yong ditunjuk jalan keluar lebih awal

Tze Yong gagal kekal rentak kemenangan ke atas Guang Zu apabila tewas pada pusingan pertama Terbuka Denmark pada Rabu.
Tze Yong gagal kekal rentak kemenangan ke atas Guang Zu apabila tewas pada pusingan pertama Terbuka Denmark pada Rabu.
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark apabila tewas 18-21, 11-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu di Arena Jyske Bank, Odense pada Rabu.

"Saya tidak bermain dengan baik, mungkin disebabkan tubuh badan saya belum pulih sepenuhnya (selepas beraksi sehingga final Terbuka Artik 2023, Ahad lalu). Ini adalah pengalaman yang saya boleh belajar.

"Itu adalah final pertama saya. Jadi saya perlu belajar lagi bagaimana cara untuk mengawal situasi bagi menghadapi kejohanan seterusnya," kata Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kekalahan itu menyaksikan Tze Yong gagal meneruskan rentak kemenangan ke atas Guang Zu selepas dia menewaskan lawan sama pada aksi suku akhir Terbuka Artik di Vantaa, Finland minggu lalu.

Nasib sama turut menimpa beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama Terbuka Denmark kali ini.

Tampil selaku naib juara Terbuka Artik 2023, Wei Chong-Kai Wun terpaksa akur tewas 18-21, 16-21 di tangan beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito dalam tempoh 46 minit.

Sebelum itu, beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau 21-18, 19-21, 21-17.

Vivian-Chiew Sien dijadual bertemu beregu Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam dalam aksi pusingan kedua pada Khamis.

Artikel Berkaitan: