70 peratus kawasan hutan terbakar sudah dipadam

Anggota bomba melakukan operasi memadam kebakaran hutan di kawasan Bypass Sebana Cove-Punggai, Kota Tinggi, pada Rabu.
Anggota bomba melakukan operasi memadam kebakaran hutan di kawasan Bypass Sebana Cove-Punggai, Kota Tinggi, pada Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kira-kira 70 peratus daripada 32 hektar hutan di kawasan Bypass Sebana Cove-Punggai, dekat sini yang terbakar sejak Ahad berjaya dipadamkan pada hari keempat operasi.

Ketua Zon 2 Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Johor, Penguasa Bomba Rasidi Md Yunos berkata, kebakaran kini berjaya dikawal tidak seperti pada peringkat awal apabila pihaknya berdepan masalah angin kuat menyebabkan api merebak dengan mudah.

"Namun dengan strategi taktikal menggunakan dua helikopter dari bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk taktik 'fire break' berjaya mengawal api daripada merebak dan banyak kawasan terbakar telah dipadamkan.

"Sebagai langkah keselamatan, jalan Bypass Sebana Cove ke Punggai ditutup sejak hari kedua kebakaran ekoran asap tebal yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui di pangkalan operasi di Bypass Sebana Cove-Punggai pada Rabu.

Aznan (kiri) ketika mendengar taklimat daripada Rasidi (kanan) di pangkalan operasi di Bypass Sebana Cove-Punggai, Kota Tinggi, pada Rabu.
Aznan (kiri) ketika mendengar taklimat daripada Rasidi (kanan) di pangkalan operasi di Bypass Sebana Cove-Punggai, Kota Tinggi, pada Rabu.

Beliau berkata, kira-kira 60 anggota dari pelbagai agensi dikerahkan dalam operasi tersebut yang kini berbaki kira-kira sembilan hektar kawasan lagi.

Sementara itu, Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, sebuah pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 milik agensi tersebut diterbangkan bagi membantu memadam kebakaran.

Jelasnya, pihak maritim membantu JBPM selepas kebakaran sebelum ini semakin merebak dari keluasan dua hektar kepada 32 hektar.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia mengatur gerak pesawat Bombardier CL-415 ke lokasi kejadian dan melakukan 'water bombing' untuk memadamkan kebakaran. Pesawat terbabit mampu membawa sehingga 6,000 liter air bagi setiap kali 'water scooping'," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin yang melawat pangkalan operasi itu pada Rabu menyifatkan kebakaran hutan tersebut paling teruk dalam tempoh tiga tahun ini.

Helikopter digunakan untuk membantu memadam kebenaran menggunakan teknik 'water bombing' di kawasan hutan Bypass Sebana Cove-Punggai dekat Kota Tinggi. - Foto ihsan JBPM Johor
Helikopter digunakan untuk membantu memadam kebenaran menggunakan teknik 'water bombing' di kawasan hutan Bypass Sebana Cove-Punggai dekat Kota Tinggi. - Foto ihsan JBPM Johor

"Ini adalah kebakaran paling teruk pernah berlaku di mana kampung berhampiran hanya terletak kira-kira 1 kilometer namun setakat ini asap kebakaran tidak menghala ke kampung.

"Bagaimanapun dengan kedudukan arah angin yang tidak menentu, kita harap agar penduduk menggunakan pelitup muka ketika keluar rumah supaya tidak berlaku masalah kesihatan," katanya.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran kecil tetapi tiada pemantauan menyebabkannya merebak besar.