GMY Kespoc juara MLBB State sempena HSN 2023

GMY Kespoc mengungguli kejohanan MLBB State sempena HSN 2023 baru-baru ini.
GMY Kespoc mengungguli kejohanan MLBB State sempena HSN 2023 baru-baru ini.
A
A
A

PASUKAN GamesMY (GMY) Kespoc dari Kelantan muncul juara kejohanan MLBB State yang dianjurkan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 selepas menewaskan wakil dari Johor.

GMY Kespoc yang dibarisi Wan Aidil Hakim Din, Wan Aidil Amin Wan Azhar, Muhammad Azrul Izani, Ahmad Zaim Faezi Fauzi dan Muhd Hakimi Ramzi Muhd Mahyudin membawa pulang piala kejohanan, medal, enam headset jenama iinvictor dan wang tunai bernilai RM5,000.

Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan Johor yang membawa pulang medal dan wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan dari Sabah yang menerima medal dan wang tunai RM2,000, sementara tempat keempat menerima medal serta wang tunai RM1,000 milik pasukan dari Labuan.

Penolong Pengarah Unit Esports Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan selaku wakil penganjur, Rafidah Abu Bakar menyifatkan penganjuran kejohanan e-sukan sempena HSN tahun ini sangat meriah dan signifikan.

Ia susulan penglibatan peserta yang sangat menggalakkan dalam semua acara yang dipertandingkan termasuk peserta dari luar negara yang turut mengambil bahagian.

“Ini membuktikan sukan esports semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan dan Malaysia turut menjadi tumpuan negara luar dalam kejohanan e-sukan.

“Tahun ini merupakan penganjuran HSN kali kelapan dan merupakan penganjuran kali kelima bagi kejohanan e-sukan HSN. Kelainan yang kami cuba bawakan pada tahun ini adalah melalui penglibatan lapan negara ASEAN untuk kategori e-football di mana tujuannya adalah untuk mempromosikan HSN ke peringkat antarabangsa selain membantu pembangunan e-sukan negara.

“Saya mengharapkan semua yang terlibat sepanjang kejohanan ini dapat pengalaman baharu serta menambah rangkaian dalam dunia e-sukan ini untuk mereka lebih maju pada masa akan datang. Saya juga mengharapkan pada tahun depan kita akan teruskan lagi inisiatif ini bukan sahaja untuk e-sukan, malah untuk sukan yang lain juga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut dipertandingkan dalam kejohanan tiga hari itu adalah acara e-football terbuka, PUBG terbuka, MLBB terbuka dan e-football ASEAN.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Sabran Abd Bahar, sambil diiringi Presiden Persatuan Sukan Elektronik Putrajaya, Syed Fakrurozi Syed Agil.