Negara Arab kutuk pengeboman hospital di Gaza

Suasana sedih di Hospital Al Shifa susulan pengeboman di Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada Selasa yang mengorbankan ratusan nyawa. - Foto EPA
Suasana sedih di Hospital Al Shifa susulan pengeboman di Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada Selasa yang mengorbankan ratusan nyawa. - Foto EPA
A
A
A

MUSCAT - Negara-negara Arab mengecam tindakan Israel mengebom Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada Selasa.

Arab Saudi, Qatar, Oman, Mesir, Algeria, Lubnan dan Libya dalam kenyataan rasmi mengutuk serangan itu yang telah meragut ratusan nyawa, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan di Gaza.

Negara-negara berkenaan menyifatkan insiden itu sebagai jenayah kejam, serta mencabul undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Arab Saudi menyeru masyarakat antarabangsa berhenti berurusan dengan pihak yang berpendirian dwistandard.

Qatar menyifatkan pengeboman hospital itu sebagai "pembunuhan kejam beramai-ramai dan jenayah tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam yang tidak berdaya."

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengecam tindakan segelintir masyarakat antarabangsa yang dilihat "berdiam diri” dengan jenayah yang dilakukan Israel.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di hospital yang terletak di tengah Gaza itu.

Selain serangan udara, Israel turut menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan: