PM India beri jaminan kepada orang Islam

Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Chennai semalam. - Foto AFP
Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Chennai semalam. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berdepan tekanan hebat susulan protes ganas yang membantah undang-undang kerakyatan kontroversi cuba meredakan keadaan dengan memberi jaminan kepada orang Muslim di negara itu.

"Penduduk Islam yang berasal daripada nenek moyang mereka orang India tidak perlu bimbang dengan Akta Pindaan Kerakyatan (CAA) itu dan rancangan untuk mendaftarkan rakyat," katanya di hadapan ribuan penyokongnya hari ini.

Pemimpin nasionalis itu turut menuduh parti pembangkang, Parti Kongres menerima keganasan itu dan mereka didakwa menyebarkan khabar angin semua orang Islam akan dihantar ke pusat tahanan.

"Tiada kem tahanan seperti itu. Semua cerita itu adalah pembohongan semata-mata," katanya.

Terdahulu, parti pemerintah pimpinan Modi didakwa sedang memperluaskan program di seluruh negara untuk meraih sokongan terhadap undang-undang kerakyatan kontroversi yang telah mencetuskan bantahan ganas di negara itu.

Parti Bharatiya Janata (BJP) merancang untuk mengadakan lebih 250 sidang media dan mengedarkan bahan bercetak dalam bahasa India tempatan untuk menentang protes besar-besaran tersebut yang didakwa kumpulan demonstrasi sebagai serangan terhadap perlembagaan sekular negara itu.

Dalam perhimpunan sebelum ini, pemimpin nasionalis terbabit telah mencetuskan kemarahan orang Islam selepas beliau dengan lantang berkata penunjuk perasaan boleh dikenal pasti melalui pakaian mereka yang merujuk kepada tudung dan pakaian orang Muslim.

Semalam, Modi dilaporkan bertemu Majlis Menteri untuk membincangkan langkah bagi menghentikan keganasan yang tercetus susulan protes membantah undang-undang kewarganegaraan kontroversi yang diluluskan pada 11 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sesi tersebut dipanggil untuk menilai keadaan semasa akibat bantahan besar-besaran terhadap undang-undang berkenaan,” kata pegawai kerajaan.

Difahamkan, ia adalah protes terbesar terhadap kerajaan nasionalis Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi sejak beliau dilantik pada tahun 2014.

Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk yang dipimpin BJP menyaksikan keganasan paling buruk.

Siri demonstrasi terus melanda beberapa bahagian negara itu termasuk negeri timur laut, Assam selepas penduduk mendakwa undang-undang itu memudahkan migran bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang menetap di India sebelum 2015 untuk mendapatkan kewarganegaraan.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan angka kematian protes ganas sejak 10 hari lalu kini mencecah sekurang-kurangnya 25 orang manakala lebih 7,000 individu telah diberkas di bawah undang-undang darurat atau atas kesalahan merusuh. - Agensi