KPDNHEP ingatkan peniaga tidak naik harga barang

Ahmad Fitri menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya di sini bagi memastikan pengusaha mematuhi harga skim harga sempena musim perayaan hari ini.
Ahmad Fitri menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya di sini bagi memastikan pengusaha mematuhi harga skim harga sempena musim perayaan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengingatkan peniaga menjual barangan mengikut harga terkawal yang telah ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga seperti ditetapkan.

Timbalan Ketua Pegawai Penguasa Pahang, KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali, sempena musim perayaan pihaknya akan meneruskan pantauan menerusi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang akan diadakan selama 10 hari bermula hari ini sehingga 31 Disember.

Katanya, sebanyak 13 barangan yang dikawal harga antaranya, ayam hidup, ayam belanda import, telur ayam, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, cili merah dan ubi kentang.

"Pelaksanaan skim ini dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa musim perayaan dan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di Jaya Grocers, Kuantan City Mall hari ini.

Hadir sama Pengurus Jaya Grocers, Fong Mei Lean.

Menurutnya, peniaga digalakkan untuk menjual barang lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga diperolehi adalah lebih rendah.

Ditanya mengenai bekalan barangan pada musim perayaan, Ahmad Fitri berkata, setakat ini ia masih mencukupi dan rakyat tidak perlu bimbang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan harga sehingga tarikh akhir pelaksanaan skim harga maksimum Krismas.

“Kita akan gerakkan 270 pegawai KPDNHEP di Pahang untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua premis perniagaan di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP merekodkan 49 kesalahan yang dilakukan peniaga di Pahang melalui empat operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguasa Pahang, KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM5,300 kompaun dikenakan terhadap peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan ialah membabitkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada harga terkawal dan tidak mempamerkan tanda harga.

"Kebiasaan peniaga memberikan alasan mereka terlupa untuk berbuat demikian.

"Tetapi kompaun tetap dikenakan terhadap mereka dan setakat ini kita berpuas hati kerana peniaga mematuhi harga yang ditetapkan," katanya.