KKR sedia kerjasama pemain industri EV

Nanta mengecas kenderaan simbolik merasmikan Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah Alih Gentari dan EVC di Hentian Sebelah Behrang arah utara pada Selasa.
Nanta mengecas kenderaan simbolik merasmikan Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah Alih Gentari dan EVC di Hentian Sebelah Behrang arah utara pada Selasa.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia bekerjasama dengan pemain industri 'charge point operator' tempatan dan antarabangsa dalam usaha menggalakkan inovasi teknologi bidang berkaitan infrastruktur dan ekosistem kenderaan elektrik (EV).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu dapat memperluaskan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan daya saing dalam sektor tenaga bersih.

"Saya melihat kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad dan Gentari Sdn Bhd akan terus memainkan peranan penting dalam penyediaan penyelesaian pengangkutan rendah karbon sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), Pelan Induk Teknologi Hijau dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.

"KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa menyokong penuh usaha dan komitmen PLUS dan Gentari bagi merealisasikan usaha penyediaan infrastruktur dan ekosistem EV serta lain-lain inisiatif hijau yang akan dilaksanakan kelak. Kami bersedia membantu bagi memudahcara pelaksanaan perancangan dan inisiatif tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV) Modular Mudah Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri pertama negara di Hentian Sebelah Behrang arah utara di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Duta Besar Norway ke Malaysia, Morten Paulsen.

Alexander berkata, pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik yang komprehensif penting untuk menjadi pemangkin penerimaan kenderaan elektrik yang lebih meluas.

Nanta (tujuh dari kanan) melancarkan Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri pertama negara di Hentian Sebelah Behrang arah utara pada Selasa.
Nanta (tujuh dari kanan) melancarkan Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri pertama negara di Hentian Sebelah Behrang arah utara pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"LLM telah meluluskan projek rintis pengecas pantas modular di empat tapak di Lebuhraya PLUS melibatkan 16 poin pengecas pantas kenderaan elektrik (DCFC) untuk disiapkan dalam tahun ini iaitu di Hentian Sebelah Behrang (utara dan selatan) dan Hentian Sebelah Senawang (utara dan selatan) di Negeri Sembilan.

"Setiap tapak akan mempunyai kapasiti pengecasan DC 300kW yang menyediakan empat poin pengecasan sebagai tambahan kepada 22 pengecas DC EVCS sedia ada yang telah beroperasi di sepanjang lebuhraya kendalian PLUS melibatkan 30 poin pengecas," katanya.

Tambah beliau, tiga tapak tambahan pengecas pantas modular akan dibangunkan di Hentian Rehat dan Rawat Ajil (utara dan selatan) dan Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu pada tahun hadapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata, pihaknya menyasarkan untuk memasang 400 pengecas awam akhir tahun ini.

"Dalam masa terdekat kami akan memperluaskan stesen pengecasan ini di Pantai Timur. Setakat ini kita ada dalam tujuh cas poin dan sampai akhir tahun depan kita boleh buat 30 cas poin lagi.

"Bulan lepas kita lancarkan dua stesen di Sarawak dan kita merancang membina stesen pengecasan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo bersama Sarawak Energy Berhad begitu juga di Sabah," katanya.