Aksi Belgium-Sweden ditunda susulan insiden tembakan

Suasana di Stadium King Baudouin ketika aksi Belgium dengan Sweden dihentikan susulan faktor keselamatan selepas dua warga Sweden maut ditembak dalam satu serangan di Brussels awal pagi Selasa. - Foto AFP
Suasana di Stadium King Baudouin ketika aksi Belgium dengan Sweden dihentikan susulan faktor keselamatan selepas dua warga Sweden maut ditembak dalam satu serangan di Brussels awal pagi Selasa. - Foto AFP
A
A
A

AKSI kelayakan Euro 2024 antara Belgium dengan Sweden dihentikan ketika rehat ekoran faktor keselamatan selepas dua warga Sweden maut ditembak dalam satu serangan di Brussels awal pagi Selasa.

Penonton di Stadium King Baudouin di ibu kota Belgium itu dimaklumkan agar kekal berada di venue perlawanan susulan pengumuman pemain tidak akan masuk ke padang bagi aksi separuh masa kedua.

“Berikutan serangan pengganas yang disyaki di Brussels malam ini (awal pagi Selasa), selepas berunding dengan kedua-dua pasukan serta polis, diputuskan bahawa aksi kelayakan Euro 2024 antara Belgium dan Sweden ditangguh,” kata UEFA dalam laman sesawangnya.

Insiden itu dipercayai melibatkan lelaki bersenjata memakai jaket oren melarikan diri dengan skuter.

Belgium kemudian mengeluarkan amaran keganasan tahap empat iaitu yang tertinggi untuk wilayah Brussels dan tahap tiga untuk peringkat nasional.

Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo berkata, tembakan itu menyasarkan warga Sweden.

“Saya baru sahaja menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Sweden berikutan serangan mengerikan terhadap warga Sweden di Brussels.

“Ingatan kami kepada keluarga dan rakan-rakan yang kehilangan orang tersayang. Sebagai rakan negara yang rapat, perjuangan menentang keganasan adalah satu usaha bersama,” ciap De Croo di laman X.

Artikel Berkaitan:

Belgium yang sudah layak ke kejohanan di Jerman tahun depan, menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Romelu Lukaku selepas Viktor Gyokeres membuka jaringan untuk Sweden sebelum aksi dihentikan dengan kedudukan terikat 1-1.

Media Belgium melaporkan pemain Sweden enggan meneruskan perlawanan selepas mengetahui mengenai serangan tersebut.