SPRM mohon dokumen peguam berhubung proses penyelesaian 1MDB

SPRM
SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon untuk mendapatkan dokumen daripada dua peguam yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan proses penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM selaku pemohon memfailkan dua permohonan secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Oktober lepas, dengan menamakan Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co serta peguam Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai responden.

Chetan merupakan peguam kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes sivil manakala Rosli mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa.

Menerusi dokumen yang diperoleh media, SPRM memohon dua responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun serta akaun syarikat dan dokumen itu diperlukan SPRM untuk mengenal pasti pelantikan kedua-dua responden sebagai peguam Goldman Sachs dan 1MDB dalam urusan penyelesaian dengan pihak Kerajaan Malaysia berkaitan1MDB.

Berdasarkan afidavit kedua-dua permohonan itu, Pegawai Penyiasat SPRM, Mohamad Sabri Mohd Latif berkata, siasatan sedang dijalankan terhadap dua responden itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Beliau berkata, pada 6 Oktober lepas, Penguasa Kanan SPRM, Muhammad Firdaus Ahmad Sabry dan Mohd Farid Ismail masing-masing telah pergi ke dua pejabat firma guaman itu bagi memberi penerangan berkaitan kes dan proses siasatan yang memerlukan pihak SPRM melaksanakan pemeriksaan selain penggeledahan untuk mendapatkan dokumen.

"Bagi tujuan itu, dua pegawai berkenaan telah mengemukakan perintah di bawah Seksyen 31 (1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) iaitu perintah untuk memeriksa, menggeledah dan menyita. Kedua-dua responden memberitahu bahawa mereka tidak dapat memberikan dokumen yang diminta kerana tertakluk kepada Seksyen 46 Akta SPRM 2009 bersama Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

Dua responden itu berkeras menyatakan bahawa perintah di bawah Seksyen 31 (1) tidak sah dan jika hendak mendapatkan apa-apa dokumen daripada premis guaman mereka, pihak SPRM perlu memohon perintah Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 46 Akta SPRM 2009 sebelum menggeledah atau mengambil apa-apa dokumen di premis mereka walaupun tujuan pemeriksaan dan penggeledahan telah diterangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Sabri dokumen itu juga diperlukan bagi mengenal pasti peranan serta tindakan responden-responden yang disyaki bersubahat bersama Goldman Sachs dan pihak berkenaan dalam melaksanakan skim yang mengurangkan amaun pampasan atau "asset recovery" dalam urusan penyelesaian yang harus dibayar kepada pihak Kerajaan Malaysia.

"Selain itu, dokumen tersebut diperlukan untuk mengenal pasti transaksi penerimaan wang rasuah dan aliran wang serta perlapisan yang berlaku daripada akaun Goldman Sachs ke akaun dua firma guaman berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Chetan dalam afidavit jawapan mendakwa terdapat kecacatan prosedur yang jelas dalam permohonan itu antaranya pemohon adalah SPRM dan bukannya pendakwa raya kerana kuasa untuk geledah dan sita mengikut Seksyen 31 Akta SPRM hendaklah dilaksanakan atau di bawah kuasa pendakwa raya.

Peguam itu berkata tiada sebarang perjanjian oleh Goldman Sachs untuk membayar kira-kira US$9.7 bilion sebaliknya jumlah penyelesaian yang dipersetujui dan terma pembayaran di dalam perjanjian penyelesaian adalah sulit.

"Dalam rundingan pertama, Kerajaan Malaysia diwakili oleh Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara ketika itu), Ganesan Nithi dari firma guaman Thomas dan Rohayu iaitu Pegawai Khas Peguam Negara ketika itu. Namun, rundingan ini tidak pernah menghasilkan sebarang persetujuan.

"Menerusi rundingan kedua dan ketiga, Kerajaan Malaysia diwakili oleh pelbagai agensi penguatkuasaan dan agensi kerajaan bersama peguam persendirian antaranya Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan Bahagian Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia," katanya.

Peguam itu mendakwa perjanjian penyelesaian telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Kes membabitkan Chetan disebut hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menetapkan 9 Nov ini untuk mendengar permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain untuk didengar bersama kes melibatkan Rosli.

Menerusi semakan sistem mahkamah, sebutan kes melibatkan Rosli akan didengar di hadapan Hakim K.Muniandy esok. - Bernama