Pacuan empat roda hanyut ketika dicuci di sungai

Tangkap layar menunjukkan sebuah pacuan empat roda dihanyutkan arus deras Sungai Bernam dalam kejadian di Tanjung Malim. - Foto: ihsan pembaca
Tangkap layar menunjukkan sebuah pacuan empat roda dihanyutkan arus deras Sungai Bernam dalam kejadian di Tanjung Malim. - Foto: ihsan pembaca
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis mengesahkan kejadian sebuah pacuan empat roda yang dihanyutkan arus Sungai Bernam berhampiran sebuah tapak perkhemahan di sini, Sabtu lalu, tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu dinaiki lima sekeluarga dari Klang, Selangor untuk berkelah di kawasan berkenaan.

"Namun dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, pemilik memandu kenderaannya ke kawasan sungai untuk mencuci.

"Selesai mencuci, kenderaannya gagal naik tebing serta tersangkut dan pada masa sama, hujan lebat di hulu sungai menyebabkan arus mulai deras," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut beliau, pemilik kenderaan terbabit bertindak meninggalkannya sebelum dihanyutkan sejauh 10 meter.

"Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa kerana isteri dan anak-anak pemandu terbabit berada di tapak perkhemahan.

"Kita juga tidak menerima laporan polis setakat ini. Kenderaan terbabit mengalami kerosakan dan berjaya dibawa naik dengan bantuan rakan-rakannya," katanya.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 27 saat di laman X dipercayai dirakam pengunjung kawasan berkenaan memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda tergolek dibawa arus deras.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!