Lesen penerbangan MYAirline akan digantung sementara - Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjawab pertanyaan media selepas pelancaran Bahagian Logistik Hijau dan Serah Lori Terminal Elektrik Pertama Malaysia di MITEC hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjawab pertanyaan media selepas pelancaran Bahagian Logistik Hijau dan Serah Lori Terminal Elektrik Pertama Malaysia di MITEC hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lesen penerbangan syarikat penerbangan MYAirline akan digantung buat sementara waktu, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Anthony Loke berkata, beliau difahamkan syarikat penerbangan tambang rendah itu masih wujud dan memberhentikan operasi sementara mencari pelabur.

"Itu isu komersial mereka, di pihak berkuasa kita akan menggantung lesen mereka sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lori terminal elektrik pertama Malaysia kepada Unilever Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.

MYAirline Sdn Bhd menggantung operasinya berkuat kuasa 12 Oktober lepas sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Anthony Loke berkata, pada masa ini, keutamaan adalah untuk memastikan hak pengguna terpelihara dengan mendapatkan semula ganti rugi, selain isu kebajikan 500 pekerja syarikat penerbangan itu.

"Pihak syarikat diingatkan mereka ada dua tanggungjawab dalam aspek ini iaitu pelanggan dan pekerja. Ini mesti dijaga terlebih dahulu," katanya.

Anthony Loke berkata, beliau difahamkan syarikat MYAirline akan mengadakan satu sidang media khas hari ini bagi memberi penjelasan kepada pelanggan dan staf mereka. - Bernama.

Artikel Berkaitan: