Festival Kembara Warisan 2023 platform perpaduan kaum

Barisan tetamu kehormat bergambar bersama peserta yang terlibat membuat persembahan pada Majlis Perasmian Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.

A
A
A

SHAH ALAM - Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu menjadi platform terbaik untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Mohd Sobri Mat Daud berkata, menerusi festival berkenaan dapat dilihat dengan jelas bahawa adat, budaya dan warisan itu dijadikan sebagai satu alat perpaduan.

“Penglibatan orang ramai membuktikan bahawa bukan kementerian atau pihak kerajaan sahaja yang berusaha menjaga perpaduan, namun daripada semua masyarakat.

“Saya lihat bagaimana festival ini dapat mewariskan adat dan warisan ini kepada generasi akan datang melalui persembahan, permainan tradisional yang dianjurkan dan jualan kraf batik.

“Ia juga memperlihatkan keistimewaan budaya kita apabila digabungkan tradisi pelbagai kaum ini melalui teater tradisional,” katanya ketika merasmikan festival itu.

Mohd Sobri (dua dari kiri) dan Muhammad Nasir (dua dari kanan) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Hadir sama, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Selangor, Raizuli Mat Jusoh.

Program itu dianjurkan KPN, dengan kerjasama JKKN, Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya), Persatuan Legasi Cinta Seni dan Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar).

Artikel Berkaitan:

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung bermula jam 8 pagi, antaranya permainan tradisional seperti menyumpit dan sepak bulu ayam, pertandingan melukis dan mewarna, pemeriksaan kesihatan percuma, zumba, gerai jualan, alat muzik serta diakhiri dengan persembahan teater tradisional sehingga jam 11.30 malam sebagai acara penutup.

Mohd Sobri berucap sebelum merasmikan Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.- FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mohd Sobri berucap sebelum merasmikan Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.- FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Tambah Mohd Sobri, pelbagai pihak daripada badan bukan kerajaan (NGO), JKKN, Sinar Karangkraf dan pihak swasta perlu berganding bahu bersama KPN untuk menganjurkan festival seperti itu pada masa hadapan.

“Syabas diucapkan terutama kepada pihak penganjur atas kejayaan festival yang dilihat cukup menarik.

“Pada masa akan datang, diharapkan lebih ramai lagi yang akan berada di atas pentas ini terutamanya generasi muda dalam mempamerkan warisan ini kepada orang ramai.

“Saya boleh nampak dengan jelas keharmonian dan keunikan masyarakat kita ini yang perlu diwariskan kepada anak-anak muda kini,” ujarnya.