UPM sambut baik langkah kerajaan hadkan yuran pendaftaran

Gambar kecil: Ahmad Farhan
Gambar kecil: Ahmad Farhan
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut baik langkah kerajaan mengehadkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.

Naib Canselornya, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, ia termasuk penangguhan bayaran yuran pengajian golongan kurang berkemampuan agar tidak menyekat mereka yang belum mampu membayarnya bagi meneruskan pengajian atau mengambil peperiksaan.

Menurutnya, menerusi inisiatif tersebut pelajar yang kurang berkemampuan mempunyai peluang lebih luas untuk memulakan dan meneruskan pengajian.

“Semoga dengan langkah ini, pelajar-pelajar susah yang tidak berhasrat menyambung pengajian kerana ingin menyara keluarga dan mereka yang susah dari pedalaman akan mendapat semangat baharu.

“Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM telah melaksanakan langkah kebajikan untuk pelajar kurang berkemampuan melalui Tabung Kebajikan Pelajar Wakaf, Zakat, dan Endowmen untuk meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Ahmad Farhan, UPM aktif mengumpul dan menyalurkan sumbangan dan derma daripada pihak luar atau penaja kepada golongan B40 yang layak.

Ujarnya, UPM juga terlibat dengan bantuan Program Dermasiswa Sulong seperti saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membiayai pendidikan generasi pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kita setuju peraturan pembayaran oleh universiti harus mengambil kira kebajikan pelajar seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Farhan berkata, inisiatif kerajaan itu juga akan meningkatkan jumlah pelajar orang kurang upaya (OKU) masuk ke universiti.

“Kerangka kukuh dalam menyokong komuniti OKU telah dilakukan antaranya, Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU, kawan yang sentiasa mengambil berat pelajar OKU, elaun khas dan masa tambahan bagi pembelajaran.

“Selain itu, UPM sentiasa menaik taraf kemudahan OKU di fasiliti utama universiti, van, mesin embosser di perpustakaan, bangunan mesra dan bilik OKU,” jelasnya.