Selangor Angels bermula langkah kanan

Aksi pemain Selangor Angels dan Pahang Tulips pada Sabtu.
Aksi pemain Selangor Angels dan Pahang Tulips pada Sabtu.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SELANGOR Angels bermula langkah kanan dalam aksi Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 apabila menewaskan Pahang Tulips di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan beraksi sengit sejak awal permainan dan Angels bangkit daripada ketinggalan mendahului tipis 10-9 pada penghujung suku pertama.

Menuju ke separuh masa, giliran Tulips untuk mendahului, juga dengan kelebihan tipis 20-19.

Saingan kian sengit dalam suku ketiga di mana kedua-dua pasukan menamatkan tempoh berkenaan dengan terikat di kedudukan 33-33 tetapi kelebihan yang diperoleh Angels pada pertengahan suku keempat menyaksikan mereka menamatkan saingan selaku pemenang dengan keputusan 47-42

Angles seterusnya akan bertemu naib juara edisi lalu, KL Wildcats, sambil Tulips juga akan berdepan cabaran besar berdepan juara bertahan, Johor Jewels, dalam aksi hari ketiga pada Ahad.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan Venom berdepan kekalahan kedua apabila tewas 26-63 kepada Terengganu Marvels.

Venom tewas 28-65 kepada Perak Phoenix dalam aksi pembukaan semalam dan mereka sekali lagi tidak dapat mencatatkan kemenangan apabila dikalahkan pendatang baru, Marvels, dalam aksi pada Sabtu.

Biarpun dengan status pendatang baru, Marvels jelas mempamerkan aksi lebih kemas untuk mendahului 18-5 dalam suku pertama.

Kelebihan itu kemudian dilebarkan mereka menjelang waktu rehat separuh masa untuk selesa mendahului 23-13.

Artikel Berkaitan:


Venom cuba melakukan kebangkitan dalam separuh masa kedua, namun mereka ketinggalan 30 mata untuk menamatkan suku ketiga 18-48, sekali gus akur menelan kekalahan kedua berturut-turut.

Venom seterusnya akan berdepan satu lagi pendatang baru, Putrajaya Dynamites, manakala Marvels pula akan menghadapi Perak Phoenix di venue sama pada Ahad. - Astro Arena