Ops Tapis Khas: Penjawat awam, pelajar antara 482 tokan dadah diberkas

Mohd Kamaruddin
Mohd Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penjawat awam dan pelajar antara 482 tokan dadah diberkas melibatkan tangkapan 4,509 individu menerusi Ops Tapis Khas Empat yang dijalankan di seluruh negara bermula Selasa lalu.

Operasi yang dijalankan secara besar-besaran ini menggempur kawasan Felda dan Felcra, Projek Perumahan Rakyat (PPR), perkampungan nelayan selain sekatan jalan raya bergerak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, kesemua tangkapan tersebut melibatkan pemeriksaan yang dijalankan terhadap 5,014 individu.

Beliau berkata, siri keempat operasi ini melibatkan seramai 2,528 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan kesemua JSJN di seluruh kontinjen.

"Seramai 482 individu ditahan merupakan tokan dadah termasuk seorang penjawat awam serta seorang pelajar sekolah.

"Selain itu, 2,232 penagih dadah termasuk empat penjawat awam dan tiga pelajar antara 4,509 individu yang mana kesemua mereka berumur antara 14 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, operasi yang dijalankan sehingga Khamis ini turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.707 juta.

"Dadah yang dirampas antaranya melibatkan syabu seberat 44.3 kilogram (kg), ganja (5.79kg) dan heroin 2.7kg. Rampasan turut melibatkan daun ketum seberat 75.8kg dan air ketum sebanyak 484.60 liter.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sitaan turut dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai RM1,103,559 juta melibatkan kenderaan mewah, jam tangan, barangan kemas serta wang tunai," katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan selama tiga hari itu memfokuskan kepada mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan serta memusnahkan 'port' penagihan.

"Selain itu, operasi dijalankan untuk menangkap penagih tegar serta suspek-suspek yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah dan pencegahan melibatkan pengedar dadah yang dikenal pasti.

"Tangkapan dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamaruddin berkata, pelaksanaan Ops Tapis Khas sejak Januari lalu melibatkan tangkapan seramai 17,147 individu dengan jumlah rampasan dadah bernilai RM23.911 juta.