Siasat pegawai PDRM hidup mewah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ADA berita panas pasal isteri seorang pegawai polis didakwa mencuri dua utas jam Rolex yang keseluruhannya bernilai RM405,000. Beliau yang bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke mahkamah di Ipoh.

Begitu mewah nampaknya kehidupan seorang pegawai polis. Itulah yang ditegur oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau mengarahkan Jabatan Integriti dab Pematuhan Standard (JIPS) untuk menyiasat mana-mana pegawai atau anggota polis yang hidup mewah di luar kemampuan sebenar.

Tentulah mudah mengesan mereka, ada rumah mewah, kereta mahal, jam berjenama eksklusif, pakai peralatan golf yang branded dan macam-macam lagi.

Orang kita mudah dikesan kemewahan mereka disebabkan suka menunjuk-nunjuk.

Awang angkat tabik pada Datuk Shuhaily Mohd Zain yang baru dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah atau CID.

Nampak sangat dia nak pastikan tak ada ‘kong kalikong’ dalam jabatan itu. Dia mahu semua bertindak secara profesional. Dia nak buka kitab baharu yang bersih dan berintegriti dalam kalangan petugas.

Dah lama Awang tak tengok ketua yang begitu berterus terang dan tegas.

Artikel Berkaitan:

Apa hal MYAirline?

Kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tindakan syarikat penerbangan MYAirline sangat tidak bertanggungjawab.

Akibat syarikat itu menggantung serta merta perkhidmatannya, kira-kira 125,000 orang penumpang terjejas.

Kata Anthony lagi, syarikat itu telah menjual tiket sehingga Mac 2024. Jumlah nilai keseluruhan tiket terjual melebihi RM20 juta.

Kata beliau lagi, syarikat itu tidak pun memaklumkan pada Kementerian Pengangkutan atau Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenai tindakan penggantungannya.

Awang percaya pihak Kementerian Pengangkutan melalui pelbagai agensi di bawahnya tentulah memantau syarikat ini.

Selain Mavcom ada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau CAAM. Apakah CAAM tidak terbau masalah MYAirline?

Peliknya CAAM telah memberikan Sijil Pengendali Udara atau Air Operator Certificate (AOC) untuk syarikat itu beroperasi dua tahun lagi hanya dua hari sebelum syarikat tersebut menggantung perkhidmatannya.Lebih menarik lagi syarikat ini bertindak macam tak ada apa-apa akan berlaku.

Sehari sebelumnya syarikat ini mempromosikan penerbangan murah dari KLIA2 ke Kota Baru dengan harga RM59 sahaja.

Awang harap semua pihak belajar daripada peristiwa ini. Hormatilah pelanggan. Janganlah jadikan mereka mangsa kelemahan dan kegagalan mana-mana syarikat penerbangan.

Tak mudah nak jadi AirAsia atau nak ikut jejak Tan Sri Tony Fernandez.