Belanjawan komprehensif, tiada kumpulan sasar tertinggal - Zahid

Ahmad Zahid berucap pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan hari ini disifatkan sebagai belanjawan komprehensif, yang menyaksikan tiada satu pun kumpulan sasar tertinggal daripada mendapat manfaat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan menjelang akhir tahun ini.

"Daripada hampir 130,000 kumpulan miskin tegar isi rumah, ia menurun kepada 18,000 dan insya-ALLAH akan dapat dimuktamadkan menjelang 31 Disember ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan belanjawan berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Perdana Menteri berkata, RM303.8 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus manakala RM90 bilion, untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kenaikan peruntukan belanjawan sebanyak 4.7 peratus atau bersamaan RM513 juta kali ini kepada kementeriannya, dalam Belanjawan 2024.

"Seperti diumumkan tentunya terdapat program baharu, bukan sahaja memberikan kesinambungan kepada program Kementerian Desa dan Wilayah, tetapi turut terkait pembinaan tabika baharu Kemas dan peruntukan khas untuk tadika pratahfiz dan pembangunan Orang Asli," katanya.

Ahmad Zahir berkata, peruntukan diterima itu juga akan membolehkan pihaknya meneruskan usaha pembangunan prasarana di luar bandar, seperti bekalan air dan elektrik selain mengadakan lebih banyak program komuniti sosial.

Artikel Berkaitan:

"Ini tentunya mengambil kira tanggungjawab yang turut dipikulkan, supaya kita bangunkan kawasan Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), kerana biarpun Felda diletak di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri, dari segi sosial dan ekonomi peneroka ia juga dipantau oleh saya," katanya.

Sementara itu beliau berkata, peruntukan besar yang diberikan kepada Felda, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dilihat akan dapat memberi pertambahan pendapatan kepada peladang atau pekebun kecil.

Terdahulu dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan RM2.4 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda, untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil. - Bernama