Dua lelaki ditahan hina raja di Facebook, TikTok

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki diberkas untuk siasatan berhubung hantaran berbaur hasutan dan penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tangkapan pertama disyaki pemilik akaun Facebook 'Muhammad Farhan' berusia 32 ditahan di sekitar Gombak, Selangor pada Khamis.

Menurutnya, tangkapan kedua dipercayai pemilik akaun TikTok @azwanar90 berusia 33 tahun yang ditahan pada Jumaat di Balik Pulau, Pulau Pinang.

"Kedua-dua lelaki tempatan itu masing-masing telah direman tiga dan empat hari.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tangkapan dibuat untuk siasatan berhubung hantaran yang cenderung menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.

Tegasnya, pihak polis menggesa orang ramai agar me jadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.

"Elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (institusi diraja, agama, bangsa)," ujarnya.

Artikel Berkaitan: