Pengendali Facebook JDT Fans Club ditahan hina Sultan Johor

Seorang lelaki ditahan polis kerana membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor.
Seorang lelaki ditahan polis kerana membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai pengendali akaun Facebook JDT Fans Club ditahan polis kerana membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada Jumaat di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, turut dirampas telefon bimbit dan kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran terbabit.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana raja, Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek telah direman tiga hari sehingga Isnin.

Sehubungan itu, Noorsiah menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci terhadap agama, bangsa dan raja hingga menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," ujarnya.