Waspada dengan cubaan pisahkan wakaf daripada agama

ANDAI anda ada tanah kebun yang ingin diwakafkan manfaatnya demi syiar Islam atau untuk kebajikan anak-anak yatim, sesunggunya anda sangat beruntung kerana pahala yang diperoleh kekal berterusan bagaikan sungai yang mengalir. -Gambar hiasan/ Foto kecil: PROF MUHAMMAD SYUKRI SALLEH
ANDAI anda ada tanah kebun yang ingin diwakafkan manfaatnya demi syiar Islam atau untuk kebajikan anak-anak yatim, sesunggunya anda sangat beruntung kerana pahala yang diperoleh kekal berterusan bagaikan sungai yang mengalir. -Gambar hiasan/ Foto kecil: PROF MUHAMMAD SYUKRI SALLEH
A
A
A

DI tengah-tengah keghairahan membangunkan wakaf sekarang, muncul satu pemikiran yang agak pelik dan memerlukan kepada penelitian mendalam.

Pemikiran tersebut mengatakan pembangunan wakaf mesti berdasarkan kepada tiga perkara asas berikut.

Pertama, pembangunan wakaf mesti bersifat telus (transparent) dan bertanggungjawab (accountable). Kedua, pembangunan wakaf mesti fleksibel.

Dan ketiga, pembangunan wakaf mesti dilayan sebagai produk kewangan, bukan produk keagamaan.

Asas yang pertama tidaklah begitu pelik sangat. Ketelusan dan tanggungjawab memang biasa. Masyarakat, terutamanya pemegang taruh wakaf seperti pemberi (waqif) dan penerima manfaat wakaf (mauquf alaih), tentulah ingin tahu apa yang berlaku kepada sumbangan wakaf dan penerimaan wakaf mereka.

Mesti fleksibel

Mereka tentu mahu pihak yang mengurus wakaf bertanggungjawab sepenuhnya atas apa jua yang dilakukan tentang wakaf tersebut.

Yang agak pelik sedikit ialah asas kedua, yakni tentang fleksibiliti. Setakat fleksibiliti biasa tiada masalah.

Artikel Berkaitan:

Tetapi fleksibiliti dalam trend pemikiran ini ialah fleksibiliti yang boleh dikira melebihi dari fleksibiliti biasa.

Mereka berpendapat pembangunan wakaf mesti fleksibel sehingga tanah wakaf boleh dijual sebahagiannya untuk dijadikan modal, sekiranya pengurusan tanah wakaf tersebut tidak mempunyai modal untuk dibangunkan.

Yang peliknya, tidak adakah ikhtiar lain bagi mendapatkan modal sehingga terpaksa menjual tanah wakaf? Sudah terdesak sangatkah dalam mendapatkan modal ini? Mendapatkan sumbangan tanah wakaf yang baru agak sukar sekarang, manakala yang ada mahu dijual pula?

Elokkah dijual sebahagian tanah wakaf sedangkan mendapat tanah wakaf baru dalam keadaan sosio-ekonomi sekarang agak sukar?

Hal ini tentulah memerlukan penelitian yang lebih mendalam agar umat Islam tidak rugi dalam keghairahan pemikiran yang sedemikian rupa.

Alasan yang membolehkan penjualan tanah wakaf ini mungkin berasaskan kepada mana-mana nas dan hujah.

Nas dan hujah-hujah ini perlu diteliti dan diperdalami bukan sahaja dari segi hukum, tetapi juga dari segi keperluan semasa.

ADA yang berfikiran jika pembangunan wakaf mahu dibangunkan secara berkesan, maka ia sepatutnya ditangani sebagai produk kewangan, bukan produk keagamaan. Pemikiran sebegitu secara langsung atau tidak semacam memisahkan agama daripada wakaf. -Gambar hiasan
ADA yang berfikiran jika pembangunan wakaf mahu dibangunkan secara berkesan, maka ia sepatutnya ditangani sebagai produk kewangan, bukan produk keagamaan. Pemikiran sebegitu secara langsung atau tidak semacam memisahkan agama daripada wakaf. -Gambar hiasan

Yang lebih pelik, malah lebih bahaya lagi, ialah asas yang ketiga. Pemikiran ini berpendapat pembangunan wakaf setakat ini tidak boleh dilaksanakan dengan jayanya kerana dihalang oleh kesilapan perspektif yang menganggap wakaf sebagai produk keagamaan, bukan produk kewangan.

Perkiraan kewangan

Pada pemikiran ini, perspektif sedemikian mengikat wakaf lebih kepada hukum hakam sehingga wakaf tidak dapat di bangunkan mengikut perkiraan kewangan.

Atas sebab itu, pemikiran ini membuat kesimpulan bahawa jika pembangunan wakaf mahu dibangunkan secara berkesan, maka wakaf sepatutnya ditangani sebagai produk kewangan, bukan produk keagamaan.

Pemikiran begini secara langsung atau tidak semacam memisahkan agama daripada wakaf. Ia sangat memelikkan, kerana wakaf itu sendiri terdapat dalam al-Quran dan Hadis yang menjadi teras kepada agama. Kenapa ia mahu dipisahkan daripada agama?

ALLAH SWT misalnya berfirman, bermaksud: “Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, ALLAH MAHA MENGETAHUI” (Surah Ali-Imran, ayat 92).

ALLAH SWT juga berfirman, maksudnya: “Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan ALLAH seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan ALLAH MAHA LUAS (Kurnia-NYA) lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Maksimakan keuntungan

Rasulullah SAW pula bersabda, maksudnya: Daripada Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang meninggal, maka amalannya terputus kecuali dari tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Umar RA juga pernah meriwayatkan: “Sesungguhnya Umar Ibn al Khatthab memiliki tanah yang dinamakan dengan Samgun yang ada kurma yang indah sekali. Umar berkata, “Ya Rasulullah, saya ingin memanfaatkan hartaku yang sangat baik, apakah saya mahu menyedekahkannya?

Nabi menjawab, “Hendaklah sedekahkan asalnya yang tidak boleh dijual, dihibahkan, dan diwariskan akan tetapi hendaklah nafkahkan buahnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jika wakaf (yang diistilahkan sebagai sedekah) terbukti daripada al-Quran dan hadis, kenapa persoalan keagamaan mesti diketepikan, semata-mata hanya kerana mahu memaksimakan keuntungan kewangan?

***Prof Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Kehormat Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia