Risda harungi cabaran ke pendalaman

Pastikan kejayaan tanam semula getah

A
A
A

Anak benih getah yang dibawa dengan bot tiba di Pos Kemar, Gerik untuk tujuan penanaman semula.
Anak benih getah yang dibawa dengan bot tiba di Pos Kemar, Gerik untuk tujuan penanaman semula.

MEREDAH Tasik Temengor selama dua jam selain menempuh laluan berlumpur menjadi cabaran besar buat warga Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) membawa anak pokok getah dan input pertanian ke Pos Kemar, di sini.

Cabaran dilalui itu merupakan sebahagian usaha RISDA Daerah Hulu Perak membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli Pos Kemar melibatkan 15 buah kampung menerusi Program Tanam Semula Getah.

Pegawai RISDA Daerah Hulu Perak, Mohd Fadhirul Annuar Mohd Ibrahim berkata, Program Tanam Semula Getah RISDA itu merupakan inisiatif permulaan yang dilaksanakan agensi berkenaan melibatkan kawasan seluas 185 hektar dengan kos RM2.53 juta.

MOHD FADHIRUL ANNUAR MOHD
MOHD FADHIRUL ANNUAR MOHD

Bagi fasa pertama katanya, ia akan melibatkan seramai 202 orang peserta yang terdiri dari Kampung Bal, Kampung Katong dan Kampung Panderas.

"Semua benih pokok getah kita bawa masuk melalui jalan air menggunakan bot secara berperingkat. Untuk fasa pertama ini, sebanyak 95,451 anak benih yang akan ditanam di dalam ladang.

Artikel Berkaitan:

"Setelah pokok ini matang, ia akan memberi manfaat kepada seramai 202 isi rumah yang menyertai program ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pos Kemar, Gerik, Perak pada Rabu.

Tambah Mohd Fadhirul Annuar berkata, ladang getah tersebut diuruskan sepenuhnya oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB).

No Image Caption

Sementara itu, Penyelia Teknikal RPSB, Badrul Naim Abdul Razak berkata, projek penanaman semula berkenaan telah pun bermula sejak 2021 dan banyak cabaran terpaksa ditempuh sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan tanaman berjaya dilaksanakan.

"Kita memang sering kali terserempak dengan gajah yang melalui kawasan ladang. Apabila kita temui tanda-tanda haiwan liar itu ada di kawasan ini, kita terpaksa menangguhkan sementara kerja-kerja di ladang bagi memastikan keselamatan pekerja.

"Selain itu, faktor cuaca juga menjadi cabaran besar dan sekiranya hujan, keadaan jalan sukar dilalui. Bagaimanapun, ia bukanlah penghalang untuk kami meneruskan apa yang dihasratkan oleh kerajaan menerusi program ini," jelasnya.

No Image Caption

Jelas Badrul Naim, biarpun projek penanaman baru dimulakan, ia sudah mula memberi kesan kepada penduduk apabila kira-kira 90 peratus pekerja ladang adalah yang terdiri daripada penduduk tempatan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Bal, Zainal Arbain berkata, penduduk kampung amat bergantung harap terhadap program penanaman semula getah itu untuk meningkatkan pendapatan.

ZAINAL ARBAIN
ZAINAL ARBAIN

"Dulu macam-macam aktiviti pertanian kita buat tetapi sejak ada ancaman gajah liar, penduduk takut nak keluar masuk ke dalam hutan. Jadi dengan adanya program penanaman semula getah ini, dapatlah penduduk menambah pendapatan,”ujarnya.

Tok Batin Kampung Ralak, Abu Bakar Alueng, program penanaman semula pokok getah oleh RISDA itu memang amat dinanti-nantikan penduduk kerana pokok sedia ada sudah kurang mengeluarkan susu getah.

ABU BAKAR ALUENG
ABU BAKAR ALUENG

Justeru, anak muda kampung katanya tidak perlu berhijrah keluar mencari pekerjaan lain. Sebaliknya, mereka boleh terus mengusahakan ladang getah yang disediakan RISDA.