PDRM, polis Australia jalin kerjasama siasat kes dadah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalin kerjasama dengan Polis Persekutuan Australia bagi menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang lelaki warga Malaysia berkaitan rampasan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, lelaki berumur 34 tahun itu adalah antara empat individu yang ditahan susulan rampasan 622 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di Melbourne.

"Segala tindakan akan diambil bagi memastikan sebarang kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan dua warga China dan masing-masing seorang rakyat Malaysia serta Hong Kong ditahan polis Australia pada Rabu selepas dadah terbabit ditemukan disembunyi dalam bungkusan gulungan tisu tandas yang tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober lepas.

Dadah itu dianggarkan bernilai hampir AUD$560 juta (RM1.7 bilion). - Bernama

Artikel Berkaitan: