KRPPM-IGAR cadang bertemu Azalina

Syed Ibrahim (kanan) ketika pengerusikan mesyuarat kali kedua di Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran di ibu negara pada Rabu.
Syed Ibrahim (kanan) ketika pengerusikan mesyuarat kali kedua di Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran di ibu negara pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi mendapatkan pencerahan susulan keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengasingan kuasa Pendakwa Raya daripada jawatan Peguam Negara.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pertemuan itu merupakan antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat kali kedua yang berlangsung pada Rabu.

Katanya, pertemuan yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat itu bertujuan untuk membolehkan kumpulan berkenaan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keputusan kerajaan tersebut.

“Difahamkan perkara ini (pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara) tidak menjadi keutamaan kerajaan kerana kekangan kewangan dan sebagainya.

“Jadi, kita akan mohon pertemuan dengan Menteri (Azalina) supaya kita mendapat pencerahan,” katanya kepada Sinar Harian selepas selesai mempengerusikan mesyuarat di Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin, pakar ekonomi dan politik, Dr Edmund Terence Gomez dan ahli-ahli yang lain.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, KRPPM-IGAR juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan hak asasi, reformasi dan pilihan raya bagi memperincikan perkara tersebut.

“Kita tidak mahu berhenti di sini (susulan penangguhan reformasi Peguam Negara dan Pendakwa Raya) kerana kita percaya ini adalah satu perkara penting.

“Jadi, kita akan teruskan usaha, walaupun pelaksanaan pengasingan kuasa ini tidak dapat dibuat dalam masa terdekat ini dengan mengambi beberapa langkah susulan seperti yang dinyatakan itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohamed Taufiq Johari berharap reformasi pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi keutamaan kerajaan, meskipun belum dapat dilaksanakan ketika ini.

Ujarnya, pemisahan kuasa itu penting bagi menjamin ketelusan membabitkan aspek perundangan di negara ini agar tidak dipertikai oleh mana-mana pihak.

“Walapun kerajaan akan menangguhkan (pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya) disebabkan implikasi kewangan dan sebagainya tapi kami tetap akan memberikan alternatif dan pandangan supaya apa yang dihasratkan ini tercapai.

“Inilah fungsi kami sebagai ahli Parlimen dan kita juga sedia untuk memberi kerjasama kepada kementerian yang terlibat serta pemegang taruh lain,” katanya.

Jelas Mohamed Taufiq, soalan mengenai status terkini berhubung usaha untuk mengasingkan kuasa Pendakwa Raya daripada jawatan Peguam negara bagi memastikan integriti perundangan dan kebebasan institusi dibangkitkan di Dewan Rakyat dan telah dijawab oleh Azalina secara bertulis baru-baru ini.

Menerusi jawapan bertulis itu, Azalina memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Jun tahun lalu bersetuju dengan syor Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah (JKKMAR) supaya pertimbangan berkaitan Hasil Kajian Pengasingan Kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara ditangguhkan kerana melibatkan implikasi kewangan dan perundangan yang besar.