Malaysia, Indonesia sepakat aktifkan semula pos tentera di sempadan

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

JAKARTA - Pos bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia di sempadan darat kedua negara diaktifkan semula dan berjalan baik selepas dihentikan susulan pandemik Covid-19, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yakin kerjasama sempadan turut bertambah baik dengan kesepakatan sedia ada termasuk pemeteraian perjanjian antara Putrajaya dan Jakarta meliputi aspek rentas sempadan dan perdagangan sempadan.

"Ini menjadi keutamaan kami sekarang supaya sempadan bersama ini diurus dengan baik dan sempurna agar kerjasama kedua-dua negara ini dapat dipertingkatkan dan hasil kerjasama ini adalah untuk manfaat rakyat di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau bercakap di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (GBC Malindo) yang ke-43 bersama rakan sejawat Indonesia, Prabowo Subianto, di sini.

Menurut Mohamad, mesyuarat GBC Malindo perlu diteruskan untuk mengatasi masalah keselamatan serta pembangunan sosioekonomi di sempadan, serta mengekalkan suasana aman dan harmoni.

"Hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua negara dalam menjaga keamanan dan keselamatan di kawasan sempadan," katanya.

Beliau dan Prabowo juga bertekad akan terus mengekalkan hubungan baik kedua negara, khususnya untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam menangani cabaran di kawasan sempadan.

"Satu pencapaian penting yang patut diketengahkan ialah kejayaan menggembleng rondaan bersama antara agensi kedua-dua negara melalui mekanisme "coordinated control”.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengambil langkah ini untuk memerangi pelbagai jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan," kata Prabowo.

Mesyuarat kali ini turut membahaskan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh jawatankuasa terlibat, seperti High Level Committee, Coordinated Operation Control Committee, Joint Training Work Committee dan jawatankuasa lain.

Mesyuarat Ke-44 GBC MALINDO akan diadakan di Malaysia tahun depan. - Bernama